Malam Gala MJDC 2022 Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM dan Milano Jewellery Sdn Bhd

21 Ogos 2022, Pulau Pinang – Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM melalui Jabatan Seni Reka Logam Kontemporari dengan kerjasama Syarikat MILANO Jewellery Sdn. Bhd telah mengadakan Program Milano Jewellery Design Competition 2022 (MJDC 2022) bagi meraikan kejayaan para pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Logam Kontemporari dan Diploma Logam Halus UiTM melalui aktiviti Pertandingan Rekaan Barang Kemas dan Client-led sebagai salah satu inisiatif bagi memupuk minat terhadap keusahawanan, dan menjadikan graduan bidang ini sebagai Job Creator and Trend Setter di dalam industri barang kemas di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Aktiviti ini amat signifikan dalam merealisasikan UiTM menjadi sebuah universiti terkemuka Globally Renowned University (GRU2025) supaya terlahir graduan yang berdaya saing dalam pasaran kerjaya secara global.

Malam Gala MJDC 2022 dihadiri oleh tetamu kehormat YBhg Profesor Ts Dr Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Dato’ Chiah Hock Yew, Pengerusi Federation of Goldsmith and Jewellers Malaysia, En Rae Yong, Pengasas & Pengarah Urusan, Milano Jewellery Sdn. Bhd dan Prof Dr Zaini Abdullah, Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM serta dimeriahkan lagi dengan kehadiran dan sokongan penaja-penaja, pensyarah Jabatan Seni Reka Logam Kontemporari dan rakan niaga barang kemas yang terdapat dari seluruh Malaysia.

MJDC 2022 memfokus kepada meningkatkan kecekapan dan kreativiti pelajar serta kemahiran dan kebolehpasaran di dalam dunia kerjaya mengikut keperluan industri, manakala, pensyarah dilantik sebagai perunding melalui khidmat kepakaran khusus dalam rekaan barang kemas. Barang kemas perlu menepati citarasa dan kehendak pelanggan dengan rekaan yang sangat unik dan mengikut trend semasa dalam industri, terutamanya mengenai aplikasi teknologi terkini dalam reka bentuk berkonsep Designomics iaitu gabungan perkataan ‘design’ dan ‘economics’ bagi merealisasikan keperluan dan kehendak pelanggan mengikut kemampuan daya memiliki barang kemas serendah 6-10 grams.

Tetamu turut menyaksikan penganugerahan hadiah kepada pelajar terbaik yang berjaya menghasilkan rekaan yang menepati kehendak pelanggan yang dimenangi oleh pelajar Amir Fitri bin Abdul Rohim dengan rekaan bertajuk Nepenthes Lady Luck menerima hadiah RM3000.00 sebagai Johan. Naib Johan dimenangi oleh Muhammad Ikhmal Hakim bin Mohd Zaid dengan rekaan bertajuk Mooncake Jewellery membawa pulang hadiah RM2000.00 manakala rekaan bertajuk Rose Cookies (Kuih Loyang) Jewellery mendapat tempat ketiga dimenangi oleh pelajar Nur Najihah Husna binti Muhamad Radzi dengan wang tunai RM1000.00. Lima hadiah saguhati turut disediakan dan pemenang meraih RM500 bagi setiap seorang.

Syabas dan tahniah kepada semua pemenang!

Artikel dan photo oleh:
Profesor Dr Nooritawati Md Tahir
Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)

Dr Hema Zulaika Hashim
Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM