Lawatan Kerja Persatuan Pesara UiTM Malaysia (PESUTIMA) ke UiTM Cawangan Sabah

KOTA KINABALU, 24 Januari 2024 – Bagai Sireh Pulang ke Gagang, setelah bersara dari perkhidmatan, Pesara UiTM Cawangan Sabah dapat berkunjung semula ke kampus dan menggamit memori indah sepanjang berkhidmat di UiTM Cawangan Sabah melalui sesi Lawatan Rasmi dari Persatuan Pesara UiTM Malaysia (PESUTIMA) ke UiTM Cawangan Sabah serta Perjumpaan bersama Rektor, Bakal Pesara dan Pesara UiTM Cawangan Sabah di Dewan Kuliah, Menara ILMU.  Lawatan rasmi PESUTIMA diketuai oleh Presiden PESUTIMA Dato’ Hj Thanthawi Jauhari Hj Ahmad bersama 30 ahli PESUTIMA.

Yang Berusaha Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed mengalu – alukan kehadiran Jawatankuasa PESUTIMA dan berharap Pesara UiTM Cawangan Sabah mengambil informasi dan manfaat di atas sesi lawatan ini terutama melalui sesi perkongsian yang telah disampaikan oleh Presiden PESUTIMA.  Terdapat banyak kebaikan dan kebajikan pesara dapat dinikmati melalui keahlian pesara di PESUTIMA.

Melalui pertemuan ini, Yang Berusaha Rektor merakamkan penghargaan terima kasih di atas kehadiran Pesara ke UiTM Cawangan Sabah.  Jasa, sumbang bakti dan pengorbanan pesara kepada UiTM Cawangan Sabah amatlah dihargai dan diraikan.  Jalinan ukhuwah dan menjaga hubungan baik sesama manusia adalah amalan yang murni dan patut dicontohi.  Sebagai manusia, kita harus bersyukur di atas nikmat Allah dan bersyukur kepada sesama manusia dengan melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan atas kebaikan serta pertolongan yang diberikan.   Berterima kasih kepada manusia lain atas kebaikannya menjadi kayu ukur apakah seseorang itu dapat bersyukur kepada Allah atau tidak atas segala nikmat pemberian-Nya.  Begitu juga firman Allah SWT:

فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّـهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

MaksudnyaMaka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

(Surah al-A’raf: 69)

Selain berkongsi idea dan beramah mesra, program ini juga membantu UiTM untuk menjalin jaringan komuniti dan industri melalui pesara yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.   Melalui lawatan ini, PESUTIMA turut menyantuni Pesara yang uzur dan sakit serta menyampaikan beberapa sumbangan.  Selain daripada itu, perlawanan persahabatan Bowling bersama Jawatankuasa PESUTIMA dan Staf serta Pesara UiTM Cawangan Sabah turut diadakan.