UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Meriahkan Minggu Kerjaya SMK Umas-Umas

TAWAU, 24 Januari 2024:  Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah memeriahkan pameran pendidikan sempena Program Minggu Kerjaya Peringkat Sekolah Bagi Tahun 2024, anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan Umas-Umas, Tawau, Sabah.

Pameran pendidikan UiTM telah diwakili oleh Dr. Azmin Pullong dan Encik Jemat Julaihi Basri bagi berkongsi pelbagai maklumat yang berkaitan dengan tawaran kemasukan ke UiTM serta halatuju pendidikan dan kerjaya pelajar-pelajar Tingkatan Lima SMK Umas-Umas selepas mereka tamat belajar.

Dalam pada itu, Tuan Pengetua Muarifin Sufianto Mohchoeri berkata, beliau amat berterima kasih kepada pihak UiTMCSH Kampus Tawau kerana sudi hadir dan berkongsikan maklumat laluan akademik dan program-program pengajian yang ditawarkan oleh UiTM sebagai persediaan pelajar yang ingin menyambung pengajian tinggi selepas tamat belajar.

 “Penglibatan UiTMCSH Kampus Tawau dalam program ini sangat bermanfaat dan memberi impak positif kerana dapat menyuntik semangat pelajar Tingkatan Lima di sekolah ini”, tambah beliau.

Di akhir program, penyampaian Sijil Penghargaan oleh Tuan Pengetua kepada setiap agensi yang hadir telah diadakan sebagai tanda terima kasih kerana bersama menjayakan penganjuran Minggu Kerjaya Peringkat SMK Umas-Umas Bagi Tahun 2024.

Sebagai rekod, pameran pendidikan yang bertujuan mendedahkan pelajar sekolah kepada laluan akademik dan halatuju kerjaya ini merupakan penyertaan buat pertama kali pada tahun 2024 bagi UiTMCSH Kampus Tawau dalam misi mencari calon-calon pelajar untuk melanjutkan pengajian di UiTM.