LAWATAN ARAS JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN NEGERI (JKKPN) UiTM CAWANGAN SARAWAK KE DEWAN BANDARAYA KUCHING UTARA (DBKU)

Kuching, Sarawak, 27 Februari 2023 – Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri (JKKPN), UiTM Cawangan Sarawak telah membuat lawatan penanda aras ke Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Lawatan itu telah disertai oleh seramai dua belas (12) orang pegawai dan warga kerja Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sarawak yang terdiri daripada AJK JK Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UiTM Cawangan Sarawak. Rombongan tersebut telah diketuai oleh Dr. Mohd Khairol bin Jambli yang merupakan Penyelaras / Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri, UiTM Cawangan Sarawak. Lawatan penanda aras ini bertujuan untuk mendapatkan pembaharuan yang boleh dicontohi dan dijalankan di UiTM Cawangan Sarawak daripada pihak DBKU. Ini kerana, DBKU telah mendapat ISO 45001 yang merupakan ISO didalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang paling tinggi.

Taklimat dari pihak DBKU telah disampaikan oleh Cik Farisha Ardilla binti Uni, Timbalan Wakil Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan DBKU. Pelbagai inisiatif, best practices dan idea telah dibincangkan dan dilontarkan semasa sesi tersebut.

Pihak UiTM mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak DBKU berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam menjayakan pengurusan Keselamatan dan Kesihatan di organisasi mereka.