Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar OKU FPP UiTM Cawangan Pahang

RAUB: Pada 17 Februari 2023, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub telah mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) bahagian lima FPP, iaitu Rusyamimie Badrol Sham. Pemberian sumbangan ini bertujuan membantu pelajar tersebut untuk mencukupkan dana pembelian kerusi roda elektrik bagi menggantikan kerusi roda sedia ada yang telah lama dan uzur. Kerusi roda elektrik ini juga diperlukan bagi membantu memudahkan urusan beliau untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah kelak.

Pihak fakulti melalui Biro Sosial dan Kebajikan FPP dengan kerjasama persatuan pelajar FPP di bawah Kelab Business Society telah menjalankan beberapa aktiviti dan kutipan sumbangan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar terbabit. Hasil kutipan sumbangan dan aktiviti yang dijalankan sejumlah RM5,000 telah berjaya dikumpulkan. Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Unit Pengurusan Kolej, Kampus Raub dengan dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajian FPP, Dr. Hasnizawati Hashim, Koordinator Pengajian Perbankan, Puan Noor Affeeda Ramli dan Koordinator Pengajian Pengurusan, Puan Nor Khairunnisa Mat Yunus. Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Dr. Hasnizawati kepada ibu bapa pelajar tersebut.

Semoga sumbangan yang diberikan dapat memberi motivasi, semangat dan impak yang positif terhadap Adik Rusyamimie. Diharapkan beliau akan sentiasa berusaha sehabis baik dan berdaya saing untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. FPP UiTM Cawangan Pahang sentiasa komited dalam membantu pelajar-pelajar OKU bagi memastikan dan menjamin kebajikan, kesejahteraan dan keselesaan mereka sentiasa terpelihara dan dijaga. Golongan OKU merupakan sebahagian daripada kelompok penting dalam masyarakat yang mempunyai potensi dan dinamika tersendiri. Kebajikan dan kesejahteraan pelajar OKU perlu terjamin dan sentiasa diberikan perhatian dan keutamaan agar potensi diri mereka dapat dicungkil dan digilap sepenuhnya.