SESI PERUNDINGAN KAEDAH ASAS PELAKSANAAN KULTUR TISU HALIA BENTONG FPA UITM CAWANGAN PAHANG BERSAMA SYARIKAT SRI SEROJA AGROFARM JENGKA

Pada 6 Januari 2023 yang lalu, satu sesi perundingan kaedah asas pelaksanaan kultur tisu bagi tanaman Halia Bentong telah diadakan secara bersemuka di Makmal Biologi 2, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Sesi perundingan ini merupakan salah satu aktiviti di bawah projek Perkhidmatan Perundingan Penghasilan Anak Benih Halia Bentong dan Kunyit Hitam Melalui Kaedah Kultur Tisu antara Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) dengan Syarikat Sri Seroja Agro Farm yang bertapak di Felda Seroja, Jengka Pahang. Projek rundingan ini telah diluluskan dan berdaftar secara rasmi di bawah UiTM Technoventure Sdn Bhd (UTVSB).

Sesi perundingan tersebut yang diadakan dalam bentuk sesi pengajaran teori dan amali telah disampaikan oleh Dr. Nazatul Asikin bt Muda, Pensyarah Kanan FPA, UiTM Pahang yang mempunyai kepakaran dalam bidang kultur tisu tumbuhan. Kultur tisu merupakan kaedah teknologi moden bagi penghasilan anak pokok yang lengkap bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan yang dikulturkan dalam media secara steril ataupun aseptik untuk tumbesaran secara in vitro. In vitro merujuk kepada sesuatu yang dijalankan di luar badan organisma, umumnya di balang kaca ataupun tabung uji.

Sesi yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari itu turut disertai oleh 2 orang pembantu makmal, dan 4 orang peserta yang terdiri daripada seorang pensyarah FPA, serta tiga orang wakil syarikat termasuk Pengurus iaitu Encik Noorazam bin Dahlan, Penolong Pengurus iaitu Puan Noor Hasnita binti Abdul Rahman serta seorang pekerja, Cik Noor Fatin Atirah.

Tujuan sesi perundingan ini dilakukan adalah bagi berkongsi kepakaran serta memberi penerangan dan latihan secara ‘hands-on’ mengenai kaedah pelaksanaan tisu kultur yang betul kepada pihak syarikat sebelum proses rundingan seterusnya boleh dilakukan. Setelah selesai sesi perbincangan yang berlangsung hampir 3 jam itu, para peserta juga dibawa untuk meninjau fasiliti-fasiliti kultur tisu yang disediakan di makmal tersebut. Adalah diharapkan agar objektif sesi perundingan tercapai serta dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.