Latihan Industri Dikala Pandemik Covid-19: Peluang Buat Pelajar Pengurusan Ladang

Penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 telah memberi impak besar terhadap ekonomi negara dan memberi cabaran dalam semua sektor termasuklah sektor pendidikan dan pengajian tinggi. Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak ini telah mengakibatkan hampir semua aktiviti sosial dan fizikal tergendala. Ini telah menjadikan majikan dan pekerja terpaksa berdepan cabaran menjalani aktiviti dalam norma baharu dan secara tidak langsung juga telah memberi impak kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri (LI).

 Bagai Bulan Jatuh ke Riba

“Bagai bulan jatuh ke riba” itu antara ungkapan yang boleh digambarkan kepada para pelajar jurusan Pengurusan Ladang.  Dikala ramai pelajar lain mengeluh dan buntu dalam berdepan masalah untuk mencari tempat latihan industri, bagi pelajar Pengurusan Ladang pencarian ini bagaikan satu rahmat dan peluang buat mereka. Ini kerana rata-rata majikan sektor perladangan mahupun pertanian memang menantikan kehadiran mereka ditambah pula dengan pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pelajar menjalani LI untuk merentas negeri dengan mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada beberapa sektor ekonomi, yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing, terutama sektor pembinaan dan perladangan akibat pembekuan pengambilan pekerja asing. Justeru, ini telah membuka peluang kepada pelajar Pengurusan Ladang dalam menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh selari dengan pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 dalam menyediakan graduan berkualiti yang boleh dimasukkan ke pasaran kerja dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Pemantauan oleh Pensyarah Fakulti

Pensyarah di Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang, Muhammad Esyam Bin Adip, yang juga penyelaras latihan industri memaklumkan seramai 151 orang pelajar Semester 4 Diploma Pengurusan Ladang telah berjaya mendapat tempat LI di sekitar Semenanjung Malaysia yang berlangsung selama 7 minggu bermula 16 Ogos 2021 dan hingga 30 September 2021 yang lalu. Program latihan industri menjadi satu daripada kursus di dalam program Diploma Pengurusan Ladang bagi melatih dan mendedahkan pelajar kepada industri pekerjaan sebenar. Ia juga satu daripada komponen penting pengajian yang memberi syarat wajib lulus kepada semua pelajar bagi melayakkan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Sementara itu, pelaksanaan latihan industri dengan norma baharu perlu dipatuhi secara menyeluruh. Selari dengan hal tersebut, pemantauan oleh pensyarah FPA yang dijalankan secara dalam talian telah dijalankan bagi memastikan pelajar dan majikan sentiasa mematuhi SOP ketika menjalankan tugas harian mereka.

Kemudahan Penginapan dan Elaun

Ahmad Mustaqim, salah seorang pelajar Diploma Pengurusan Ladang bersama 4 lagi rakannya turut mengucapkan rasa syukur kerana telah diterima untuk menjalani LI di Sofea Pineapple Farm, salah sebuah syarikat tempatan yang menjalankan aktiviti penjualan sulur dan buah nanas MD2 yang terletak di Kijal, Terengganu. Kedatangan pelajar ini telah disambut baik oleh majikan dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah penginapan dan elaun bulanan sebanyak RM300. Banyak pengalaman yang kongsikan antaranya ialah pelajar membantu dalam penyediaan tapak penanaman nanas yang baharu dengan melakukan pemasangan tiang pagar dan pembaikian sistem peparitan. Selain itu, mereka juga di ajar cara pemasangan pelindung nanas. Bahan yang digunakan untuk pelindung nanas ini mestilah pada kos yang berpatutan, mudah di pasang dan dibuka serta tidak menganggu proses pembesaran buah. Pemasangan pelindung ini untuk menjaga kualiti nanas seperti kadar brix, fizikal buah dan warna kulit nanas. Mereka turut belajar cara pengawalan rumpai dan pembajaan nanas, pengambilan sulur nanas, aktiviti penuaian buah nanas MD2 serta penghantaran sulur nanas dan buah nanas kepada pemborong dan pembeli sekitarnya.

Sementara itu, pengalaman menarik juga telah dikongsikan oleh salah seorang pelajar Diploma Pengurusan Ladang, Muhammad Hafiz Aiman yang menjalani LI bersama 3 lagi rakannya di Estate Koperasi Ladang Sungai Ambat, Mersing di Johor. Selain menerima elaun sebanyak RM20 sehari, mereka juga diberikan penginapan percuma di ladang. Mereka telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti pengurusan ladang kelapa sawit termasuklah aktiviti pembajaan dan kawalan rumpai, pemangkasan, dan penuaian buah tandan segar. Selain itu, mereka juga diajar cara menggunakan teknologi Drone untuk menabur benih, menyembur racun dan menabur baja di kawasan penanaman padi di Tebu Hitam, Kuala Rompin di Pahang. Mereka juga sempat menimba serba sedikit ilmu dalam bidang ternakan lembu secara integrasi dan juga feedlot yang dilaksanakan di Estet Koperasi Ladang Sungai Ambat, Mersing. Pengalaman seperti ini boleh dijadikan sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan kelak.

Peluang Diserap Selepas Tamat LI

Terus terang, kebanyakan pelajar menganggap LI sebagai salah satu proses pembelajaran sahaja. Ramai yang tidak sedar bahawa LI merupakan satu platform terbaik untuk membolehkan mereka menceburi alam pekerjaan dengan pantas. Hal ini telah diutarakan oleh Encik Yusrihazim Rostam, Pegawai Kadet di Ladang Sungai Ambat dalam sesi temu bual ketika pemantauan LI dijalankan oleh pensyarah fakulti. Beliau yang juga Alumni Diploma Pengurusan Ladang UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka amat teruja menerima kedatangan pelajar UiTM ke ladang tersebut. Dalam pada itu, beliau juga amat berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang diberikan oleh pelajar berkenaan. Antara maklumbalas yang diterima adalah kesediaan pelajar menerima tugasan yang diberi, pelajar boleh menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan, sentiasa mematuhi arahan dalam menjalankan tugas, mampu untuk menyesuaikan diri dengan kakitangan syarikat dalam masa yang singkat, serta pelajar tidak mempunyai masalah berkomunikasi justeru dapat memberi komitmen dalam pekerjaan sebagai satu pasukan. Secara umumnya, boleh dikatakan pihak majikan juga berminat untuk mengambil pelajar bekerja secara tetap selepas tamat pengajian kelak. Oleh yang demikian, pihak Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) sentiasa komited untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam memastikan graduan dapat penempatan pekerjaan sepadan dengan kelayakan setelah mereka tamat pengajian diperingkat Diploma mahupun Ijazah kelak.