Webinar Penghasilan Racun Organik Dari Bahan Dapur Sempena Program World Food Day 2021

Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang (UCPh), Kampus Jengka telah menganjurkan webinar secara atas talian bersempena dengan Program World Food Day 2021 anjuran Institut Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari Universiti Malaysia Kelantan dengan kerjasama UiTM Cawangan Pahang (UCPh), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan dan Princess of Naradhiwas University, Thailand. Webinar ini bersiaran secara langsung pada 14 Oktober 2021 jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi melalui FB Live FPA UiTM Pahang dan dihadiri oleh 81 orang peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan UiTM, UMK, KPTM, kakitangan MARDI dan juga beberapa orang petani.

Webinar bertajuk “Penghasilan Racun Organik Dari Bahan Dapur” ini dipengerusikan oleh Dr Mohd Khairi Bin Che Lah selaku moderator bersama dua orang panel dari FPA UCPh iaitu Dr Neni Kartini Binti Che Mohd Ramli serta Puan Norhaslinda Binti Arun. Kedua-dua panel ini merupakan Pensyarah Kanan FPA UCPh yang mempunyai latar belakang dalam bidang Patologi Tumbuhan serta Entomologi. Sesi pertama membincangkan berkenaan racun serangga organik dari bahan dapur manakala sesi kedua membincangkan tentang kawalan penyakit tanaman.

Dengan penganjuran webinar ini, FPA juga mendokong Matlamat Pembangunan Mampan SDG 2 iaitu Kelaparan Sifar dengan menganjurkan program dan berkongsi ilmu pengetahuan serta kepakaran kepada petani dalam usaha menggalakkan pertanian lestari. Perkongsian ini diharapkan dapat memberikan sedikit ilmu berkenaan penghasilan racun organik menggunakan bahan sedia ada dan mudah didapati di dapur serta kawasan persekitaran selain tidak melibatkan kos yang tinggi.