Lantikan Semula sebagai Jawatankuasa Persatuan Memanah Negeri Pahang

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad (Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan), Ts Mohd Norafizal Abdul Aziz (Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Komputer dan Matematik) dan En Mukriz Mohamed (Penolong Pegawai Belia & Sukan Kanan) kerana berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden, Naib Presiden 1 dan Setiausaha Persatuan Memanah Negeri Pahang bagi sesi 2022-2024. Selain daripada itu, Hajah Nur Afzan binti Abu Kassim (Pembantu Belia & Sukan Kanan) pula bakal dilantik sebagai Juruaudit.

Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 2020. Penglibatan warga UiTM Cawangan Pahang di dalam sukan memanah telah bermula seawal 2006. Kerjasama erat diantara Pasukan Memanah UiTM Cawangan Pahang dengan Majlis Sukan Pahang (MSP) telah berterusan semenjak SUKMA 2008 dimana negeri Pahang telah memenangi pingat Emas pertama bagi negeri Pahang dalam acara memanah selepas 10 tahun. Kecemerlangan sukan memanah Pahang diteruskan pada SUKMA 2018 di mana Pahang telah menjadi juara keseluruhan bagi acara Memanah dan sehingga kini, telah menyumbang hampir 1030 pingat untuk negeri Pahang dan UiTM dalam acara Memanah diperingkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa (Sukan SEA, Asia Grand Prix, Asean University Games dan World CUP di Shanghai).

Melalui penglibatan di dalam sukan memanah ini, ia telah menepati Matlamat Pembangunan Lestari yang telah digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-4, iaitu SDG1, membasmikan kemiskinan dan SDG 3, meningkatkan mutu kesihatan. Untuk rekod, warga Memanah UiTM Cawangan Pahang telah membantu lebih 20 pemanah menerima biasiswa KPT dan KBS dari tempoh 2006 sehingga 2022 . Sebahagian besar penerima biasiswa ini adalah dari kalangan pelajar keluarga B40 yang juga merupakan pemanah yang dilatih dari peringkat asas di UiTM Cawangan Pahang.

Semoga memanah Negeri Pahang terus berjaya diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Warga UiTM Cawangan Pahang amnya dan Warga Fakulti Perakaunan khususnya berasa amat bangga.