‘Ka-C Ja-D Ba’ UiTMCSH Siri 3 : ‘Jom Naik Beskal’

TAWAU, 11 MAC 2022 – Sambutan yang menggalakkan terhadap Program ‘Ka-C Ja-D Ba’ telah mendorong pihak pengurusan UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau meneruskan siri yang ketiga. ‘Ka-C Ja-D Ba’ kali ini menampilkan Encik Sulaiman Halim, pembantu tadbir di Unit Hal Ehwal Akademik sebagai penceramah. 

Bermula dengan niat menurunkan berat badan dan meningkatkan tahap kecergasan diri, Encik Sulaiman atau lebih mesra dipanggil Leman berkata, beliau mula berjinak-jinak dan menjadikan sukan berbasikal jenis mountain bike (MTB) sebagai hobi dan amalan gaya hidup sihat sejak 2 tahun yang lalu.

Dengan tajuk ‘Jom Naik Beskal’, sesi perkongsian berdasarkan pengalaman beliau dalam sukan berbasikal menyentuh berkaitan Pengenalan Asas Basikal.

Antara perkara-perkara yang diterapkan dalam Pengenalan Asas Basikal adalah :

  1. Jenis-jenis basikal yang popular digunakan masa kini 
  2. Komponen-komponen basikal
  3. Pemilihan saiz basikal yang betul
  4. Penggunaan gear yang betul
  5. Pakaian dan aksesori basikal 
  6. Langkah-langkah keselamatan berbasikal di jalan raya
  7. Tip kayuhan mendaki bukit

Beliau juga menasihatkan kepada semua peserta, sekiranya berminat dan ingin menjadikan sukan berbasikal sebagai hobi, pilihlah basikal yang bersesuaian dengan saiz fizikal dan laluan kayuhan yang diinginkan sama ada berbasikal secara on-road ataupun off-road. Dan yang paling penting belilah basikal mengikut kemampuan masing-masing tanpa terpengaruh dengan kawan-kawan yang sekadar ingin bermegah-megah dengan basikal harga ‘kayangan’.

Sekadar info, program ‘Ka-C Ja-D Ba’ siri pertama dan kedua telah diadakan pada 18 Februari dan 11 Mac 2022. Matlamat program ‘Ka-C Ja-D Ba’ ialah untuk menggalakkan staf berkongsi ilmu pengetahuan dan lebih cakna dengan kemahiran lain di samping bidang tugas hakiki.