Bengkel Pemurnian Buku Peraturan Akademik Program Pra Diploma UiTM Berjalan Lancar

SHAH ALAM : Pejabat Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan Bengkel Pemurnian Buku Peraturan Akademik Program Pra Diploma pada 16 dan 17 Mac 2022 di Dewan Seminar, UiTM Global, Shah Alam. Seramai 11 peserta yang terdiri daripada koordinator PPT dari semua kampus Pengurus Utama dan kampus Pelaksana program Pra Diploma hadir secara bersemuka dalam usaha pemurnian Buku Peraturan Akademik Program Pra Diploma UiTM.

Menurut Dr. Ani Mazlina Dewi Mohamed, Ketua Unit Akademik, tujuan utama bengkel tersebut diadakan adalah untuk pemurnian isi kandungan Buku Peraturan Akademik Program Pra Diploma UiTM (Pindaan 2015) dan diselitkan juga dengan penyediaan Buku Panduan Program Pra Diploma. Hal ini disebabkan, kewujudan program Pra Diploma yang baharu iaitu Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) dan Pra Diploma Agroteknologi yang telah ditawarkan kepada calon lepasan SPM bermula sesi Oktober 2021. Manakala, Pra Diploma Pengajian Islam akan ditawarkan pada sesi Mac 2022. Dengan adanya bengkel ini, maka pindaan buku peraturan akademik dapat akan dikemaskini berpandukan maklumat yang terkini.

Turut hadir dalam bengkel selama dua hari tersebut ialah Prof. Madya Dr. Aini Jaapar, Pengarah PPT, Dr. Leylawati Joremi, Felo Promosi dan Alumni, Ts. Syed Harun Said Mohamad, Penolong Pendaftar Kanan dan Encik Mohamad Azizi Abd Hazis, Pegawai Eksekutif dari Pejabat Program PPT UiTM. Semoga segala usaha murni ini dapat meningkatkan mutu penyampaian yang lebih berkesan sekaligus meningkatkan kualiti piawaian sistem operasi program pra diploma UiTM.

Berdasarkan rekod, PPT UiTM kini menawarkan lima program iaitu Pra Diploma (Sains), Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) Pra Diploma Agroteknologi dan Pra Diploma Pengajian Islam.