UiTM Kampus Kota Kinabalu Menjayakan Kempen Penghijauan Malaysia

KOTA KINABALU, 11 MAC 2022 – Kompleks Makmal Sains & Agroteknologi dengan usahasama Unit Ladang, Bahagian Pengurusan Fasiliti (Lanskap) dan Fakulti Sains Gunaan telah menjayakan program penanaman pokok sempena Kempen Penghijauan Malaysia. Kempen ini mensasarkan penanaman 100 juta pokok diseluruh negara dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025. Program Kempen Penghijauan Malaysia ini dibawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan diselaras oleh Jabatan Perhutanan Sabah, dimana kempen ini bertujuan antaranya untuk menambah baik ekosistem dan biodiversity negara kita disamping menggalakkan kesedaran terhadap kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan.

Pada 9 Mac 2022, UiTM Kampus Kota Kinabalu telah menerima lima puluh anak pokok hutan yang terdiri daripada pokok Gerongsang atau nama saintifiknya Cratoxylum Arborescens (Vahl) dan pokok Balau atau nama saintifiknya Shorea Maxwelliana King daripada Pejabat Perhutanan Wilayah Kota Kinabalu. Penyerahan anak-anak pokok daripada Pejabat Perhutanan Wilayah Kinabalu diketuai oleh Tuan Haji Mohd Nasir Ag Suman, Pegawai Perhutanan Wilayah Kinabalu. Aktiviti penanaman anak-anak pokok telah dilaksanakan pada 11 Mac 2022 di sekitar padang B UiTM Kampus Kota Kinabalu dan seramai 30 orang yang terdiri daripada staf dan pelajar turut serta dalam aktiviti penanaman ini. Dengan adanya program ini, ia dapat menyemarakkan semangat cintakan alam semula jadi disamping membantu dalam mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) sekaligus mengurangkan impak pemanasan global dan kesan rumah hijau.