Kursus Pengurusan Kewangan Masjid Jajahan Gua Musang Anjuran Bersama Fakulti Perakaunan UiTMCK dan MAIK

MACHANG, 17 Mei 2023 – Fakulti Perakaunan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengadakan Kursus Pengurusan Kewangan Masjid bagi 35 buah masjid di bawah mukim jajahan Gua Musang bertempat di Hotel Heritage, Cameron Highland pada 13 Mei 2023. Kursus yang melibatkan seramai 105 orang peserta terdiri daripada pentadbir masjid ini merupakan siri yang ke-7 anjuran bersama Fakulti Perakaunan dan MAIK. Kerjasama ini telah bermula sejak dari tahun 2018 lagi dan MoA juga telah ditandatangani oleh MAIK dan UiTM Cawangan Kelantan pada tahun 2019 yang turut melibatkan penganjuran kursus sebegini di seluruh jajahan di negeri Kelantan.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Yang Berbahagia Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi telah turut sama menghadiri majlis penutup kursus ini bersama-sama MAIK dan juga turut menyampaikan sijil kepada para peserta kursus. Dalam ucapan penutup, Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi juga turut berkata bahawa kursus ini merupakan sumbangan daripada pihak universiti kepada komuniti dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Selain daripada MAIK, kursus ini juga telah menerima sumbangan dan tajaan dari pihak Bank Rakyat jajahan Gua Musang yang turut bersama-sama di dalam majlis dalam menyampaikan maklumat penting tentang kepentingan pengurusan kewangan bagi masjid.

Kursus yang telah berjalan dengan lancar dan jaya ini juga turut mendapat maklum balas yang baik dari para peserta yang terlibat. Diharapkan agar penganjuran kursus seperti ini dapat memberi manfaat yang berterusan dan impak yang besar, demi pembangunan masjid serta buat masyarakat setempat di Negeri Kelantan Darul Naim.