Mesyuarat Timbalan Naib Canselor (HEP) Bersama Timbalan-Timbalan Rektor HEP, Dekan/ Timbalan-Timbalan Dekan HEP, Penolong-Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar & Yang Di-Pertua MPP Seluruh Sistem UiTM

MACHANG, 22 Mei 2023 – UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Mesyuarat Timbalan Naib Canselor (HEP) bersama Timbalan-timbalan Rektor HEP, Dekan/Timbalan-timbalan Dekan HEP, Penolong-penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar & Semua Yang Di-Pertua MPP seluruh sistem UiTM bertempat di Bilik Seminar HRD A, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang pada 14 Mei 2023 (Ahad). Mesyuarat ini melibatkan seramai 66 orang ahli mesyuarat yang terdiri daripada wakil dari setiap cawangan UiTM seluruh Malaysia. Program dimulakan dengan sesi bergambar di Laman Kemuning dan kemudian Timbalan Naib Canselor (HEP) menandatangani buku pelawat sebagai tanda hadir ke UiTMCK.

Barisan tetamu yang hadir bersama-sama Timbalan Naib Canselor (HEP) disambut dengan Perbarisan Tabik Hormat daripada Majlis Perwakilan Komander (MPK), Persembahan Seni Silat daripada pelajar kokurikulum, persembahan pancaragam daripada Komander Kesatria Brass Band dan Persembahan Hakka daripada Majlis Perwakilan Komander (MPK).

Mesyuarat ini telah berlangsung bagi membincangkan isu-isu dan hal-hal yang berkaitan dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar sama ada di peringkat induk iaitu Shah Alam mahupun di peringkat cawangan-cawangan UiTM. Antara fokus utama perbincangan adalah dari segi Pembangunan Pelajar dan Kebajikan Pelajar.

Sebelum berakhirnya aktiviti di UiTMCK, sebagai tanda menyantuni tetamu yang hadir dari jauh ke UiTMCK, pihak pengurusan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTMCK menjemput semua tetamu makan malam bersama dengan hidangan tempatan rakyat Kelantan. Tetamu juga diserikan lagi dengan persembahan dari Unit Kebudayaan UITMCK bagi memberikan suasana tenang dan gembira.

Pada 15 Mei 2023, kehadiran semua delegasi Mesyuarat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar ke bumi Kelantan diakhiri dengan Lawatan Penanda Aras di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah universiti tempatan dalam mencorak kelestarian mahasiswa di kampus.