Kursus “First Responder Life Support” (FRLS) anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Kelab Kecergasan dan Rekreasi, Hospital Jengka

15 Disember 2022 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Kelab Kecergasan dan Rekreasi, Hospital Jengka telah mengadakan Kursus First Responder Life Support (FRLS). FRLS adalah merupakan suatu bentuk rawatan kecemasan awal melalui beberapa kaedah tanpa alatan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi membantu mangsa apabila denyutan jantung terhenti secara tiba-tiba dan mangsa akan mengalami tanda-tanda utama seperti rebah dan tidak sedarkan diri, pernafasan terhenti, dan tiada nadi. Ia bertujuan untuk meningkatkan peluang mangsa untuk diselamatkan sementara menunggu bantuan kecemasan tiba di tempat kejadian. Dewan Serbaguna Kolej Tun Teja, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka merupakan lokasi kursus ini diadakan dengan penglibatan seramai 69 pelajar.

Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pengetahuan secara teori dan praktikal mengenai teknik asas bantuan FRLS mengikut modul National Committee on Resuscitation Training (NCORT) yang terkini dalam menyelamatkan nyawa dan memberikan pertolongan cemas kepada orang awam atau mangsa kemalangan. Dalam kursus ini, pelajar-pelajar juga mempelajari perkara seperti tatacara menggunakan radas beg untuk membantu pengudaraan, tatacara menjalankan teknik pernafasan lengkap, teknik membersihkan saluran udara pesakit yang disekat kerana tercekik, teknik bantuan segera sawan, kepatahan, terbakar industri, renjatan elektrik, dan teknik immobilisasi, menghentikan pendarahan dan bandaging. Selain kepentingan Pengajaran dan Pembelajaran di dalam silibus program, program ini akan memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat tentang cara menyelamatkan diri dan orang awam ketika berada dalam kecemasan serta bertujuan melatih para peserta program dalam bidang asas pertolongan cemas.

Antara yang menarik, pelajar juga turut akan diberi pengalaman hands on dalam melakukan Teknik CPR kepada mangsa dengan cara yang betul dan simulasi merawat mangsa di tempat kemalangan. Kursus ini juga menawarkan sijil sebagai penyelamat bertauliah sah selama tiga tahun. Bagi peserta yang lulus ujian teori dan praktikal akan dianugerahkan dua sijil (penyertaan dan sijil tauliah) dan bagi yang gagal hanya akan memperolehi sijil penyertaan sahaja.