Bengkel Pecutan Akhir UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau

TAWAU: Bengkel Pecutan Akhir telah diadakan khusus bagi pelajar program Pra Diploma Perdagangan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau menjelang peperiksaan  akhir Februari 2023.

Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah bagi membantu pelajar  menghadapi peperiksaan akhir UiTM semester  Oktober 2022 – Februari 2023 yang bermula dari 6 Februari hingga 21  Februari 2023. Bengkel ini menumpukan kepada kursus Matematik (MAT037) memandangkan kursus tersebut telah menjadi penyumbang utama kepada penurunan peratusan LNT ke peringkat program Diploma.

Bengkel Pecutan Akhir telah dikendalikan oleh tiga orang pensyarah yang mengajar kursus tersebut, iaitu Haji Surjan Haji Sirajudin, Puan Milbah Ibrahim dan Puan Hamidah Achmad.

Di dalam bengkel ini, pelajar-pelajar telah diberikan pendedahan kepada  bentuk soalan peperiksaan akhir dengan diberikan latih-tubi intensif  soalan-soalan peperiksaan akhir semester lalu. Sebagai pendedahan   awal menghadapi peperiksaan akhir, peperiksaan akhir percubaan juga telah diadakan.

Menurut salah seorang pelajar, Mohamad Yusri Sanali, bengkel ini telah  memberi cukup keyakinan kepadanya untuk lulus kursus MAT037.

“Sebelum ini saya sangat bimbang akan gagal memandangkan saya  sangat lemah dalam Matematik, tetapi setelah mengikuti bengkel ini saya  yakin akan lulus dan dapat menyambung pengajian ke diploma”, katanya dengan penuh yakin.

Manakala, Elisa David yang sangat mengimpikan untuk mendapat  keputusan yang cemerlang merasakan bengkel ini dapat membantunya  untuk mencapai impian tersebut.

“Daripada bengkel ini saya banyak mendapat tips dan panduan cara  menjawab soalan dengan tepat. Saya yakin untuk mendapat keputusan yang cemerlang bagi kursus MAT037”, kata Elisa.

Program ini akan diteruskan lagi pada semester akan datang memandangkan bengkel ini mendapat respon yang sangat baik daripada   pelajar dan membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik mereka.