Kursus Asas Penanaman Secara Fertigasi dan Ternakan Kelulut Anjuran Fakulti Perladangan & Agroteknologi UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka

Pada 13 September 2022 Selasa, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menjadi penganjur kepada Kursus Asas Penanaman Secara Fertigasi dan Ternakan Kelulut. Kursus ini telah dijalankan di Tapak Fertigasi, Ladang UiTM Cawangan Pahang serta Tapak Ternakan Kelulut UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 1.00 tengahari.

Kursus yang diketuai oleh Encik Mohamad Amir Shah Bin Yusop serta dibantu oleh Puan Anisah Binti Mohammed dan Cik Nur Masriyah Binti Hamzah selaku Jawatankuasa Program telah disempurnakan pembukaannya oleh Ts. Fazidah Binti Rosli selaku Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Encik Adam Bin Zakaria iaitu Usahawan Tani Muda dan juga Alumni UiTM dari Program Diploma Pengurusan Ladang telah dijemput khas selaku penceramah bagi kursus ini. Kursus jangka pendek ini disasarkan kepada penduduk Komuniti Kg Kuala Tahan dan kakitangan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Objektif utama yang disasarkan dalam kursus ini adalah bertujuan untuk program perkongsian ilmu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti dan mampu diaplikasikan untuk penjanaan pendapatan tetap mahupun sampingan. Selain itu juga, kursus ini memberi ruang kepada fakulti untuk menjalin hubungan dengan komuniti luar dalam menyalurkan maklumat pertanian kepada yang memerlukan.

Sesi kursus yang memakan masa lebih empat (4) jam ini telah menarik minat ramai peserta untuk bergiat lebih aktif dalam fertigasi mahu pun penternakan kelulut. Perkongsian ilmu oleh Encik Adam Bin Zakaria yang lebih kepada proses demontrasi dan penerangan khusus membuatkan peserta aktif berinteraksi bagi mendapatkan ilmu untuk manfaat di kemudian hari. Maklumbalas yang positif diterima daripada para peserta memberi impak yang baik buat fakulti. Kursus yang berakhir di Tapak Penternakan Kelulut bukan menjadi titik terakhir buat Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dalam menganjurkan program yang berimpak dan bermanfaat.