Bengkel Perancangan Strategik InQKA 2023 – Beyond Boundaries

PAHANG – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah mengadakan Bengkel Perancangan Strategik bertemakan ‘Beyond Boudaries’ pada 7 hingga 9 September 2022 bertempat di Royale Chulan Cherating Chalets, Pahang. Objektif Bengkel Perancangan Strategik InQKA 2023 ini dilaksanakan adalah untuk memetakan hala tuju InQKA agar selari dengan Pelan Strategik UiTM 2025 disamping mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warganya.

Seramai 24 orang staf InQKA dan 13 orang tetamu jemputan daripada pelbagai PTJ UiTM seperti Pejabat TNCPI, BHEA, PPII, ACIS, Unit Kewangan Zon 7, UiTM Cawangan Perak, UiTM Cawangan Johor, UiTM Cawangan Kelantan, UiTM Cawangan Perlis, dan UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah turut serta menjayakan Bengkel Perancangan Strategik pada edisi kali ini.

Penolong Naib Canselor InQKA, Prof. Dr. Azizah Abdullah telah menyampaikan ‘Sesi Aspirasi InQKA 2023’ pada hari pertama bengkel bagi menetapkan kerangka perancangan dan petunjuk prestasi setiap unit. Sesi perkongsian daripada setiap unit juga diadakan bagi menerangkan fungsi unit dan cabaran yang dihadapi sepanjang tahun 2022.

Aktiviti keserakanan diadakan pada hari kedua bengkel dengan harapan warga InQKA dapat memupuk semangat berkumpulan, bekerjasama dan juga meningkatkan daya pemikiran kritis. Di samping itu, ‘Sesi Ukhuwah Pemangkin Prestasi Kerja’ dijalankan bagi memperkukuh keakraban warga InQKA sekaligus meningkatkan kualiti kerja organisasi.

Akhir sekali ‘Sesi Pengoperasian dan Pembentangan Perancangan Strategik’ diadakan pada hari ketiga bengkel. Sesi ini melibatkan pembentangan daripada setiap unit seperti Unit Jaminan Kualiti Dalaman (IQA), Unit Sistem Kualiti & Kecemerlangan Operasi (SKKO), Unit Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK), Unit Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, Unit AKNC dan Unit Pentadbiran dan ICT InQKA. Pemurnian dan saranan daripada PNC dan tetamu jemputan diberikan perhatian serius dan dipertimbangkan bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan aktiviti dijalankan sejajar dengan aspirasi universiti.

Secara keseluruhannya, objektif Bengkel Perancangan Strategik yang dijalankan telah tercapai dengan terhasilnya Perancangan Strategik dan Kalendar InQKA 2023. Semoga aktiviti dan program yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna pada tahun hadapan.