Kor SISPA UCS SAHUT CABARAN PEMERKASAAN ILMU PENULISAN DAN JATIDIRI MELALUI PENGANJURAN BENGKEL PENULISAN ARTIKEL DAN MOTIVASI KEPIMPINAN

Pada 15 Ogos 2023, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Bengkel Penulisan Laporan dan Artikel Akhbar/Majalah dan Motivasi Kepimpinan yang bertempat di Dewan Seri Anggerik, UiTM. Program pemerkasaan ilmu penulisan artikel ini telah disertai oleh seramai 55 orang pegawai kadet SISPA (PKS) Muda dan merupakan satu inisiatif yang diwujudkan bagi membantu para peserta dalam menyediakan laporan atau artikel untuk dihantar ke mana-mana akhbar atau majalah. Bengkel penulisan artikel ini telah disampaikan oleh Kapten Bersekutu (PA) Razif Dasiman, dan menurut beliau kemahiran menulis artikel atau laporan ini sangat penting bagi setiap pegawai PKS kerana terdapat banyak aktiviti, latihan, bengkel dan kursus yang kerap dianjurkan oleh para pegawai, dan seringkali tidak dilaporkan kepada umum melalui media. Ini amat merugikan kerana ia akan menjejaskan visibiliti pasukan Kor SISPA UCS dan kemahiran-kemahiran yang ada dalam setiap anggota tidak dapat dikongsikan kepada masyarakat luar. Melalui bengkel seperti ini, peserta telah diajar jenis-jenis karya yang boleh ditulis, menulis artikel mengikut laras bahasa yang betul, dan selari dengan kehendak mana-mana penerbit.

Bengkel ini telah dimulakan dengan slot Motivasi Kepimpinan yang disampaikan oleh Sarjan (PA) Mohd Ropfi bin Haji Ahmad, yang juga merupakan jurulatih Kor SISPA UCS. Slot motivasi kepimpinan ini diadakan bertujuan untuk melahirkan pegawai kadet SISPA yang berjiwa pemimpin dalam menggerakkan sebuah organisasi. Sarjan (PA) Mohd Ropfi juga menegaskan bahawa motivasi kepimpinan boelh dijadikan medan untuk memberi kesedaran kepada para peserta bahawa setiap individu layak menjadi pemimpin dan boleh memimpin dengan nilai-nilai positif, dan mempunyai keperibadian yang baik agar dapat diteladani. Selain itu, motivasi kepimpinan ini juga dapat membuka minda para pelatih dengan kemahiran ilmu dan maklumat yang sahih dan tepat agar apa yang disampaikan tidak memberi implikasi yang buruk terhadap organisasi yang bakal dipimpin.

Selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 4: Quality Education dan SDG 16: Peace Justice and Strong Institution, Kor SISPA UiTM Cawangan Selangor komited terhadap visi dan matlamatnya yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti dan pemantapan organisasi. Melalui penganjuran bengkel penulisan dan motivasi kepimpinan tersebut, Leftenan Muda (PA) Nurul Atiqah Ibrahim melalui perkongsian kepimpinannya juga menyifatkan bahawa bahawa program-program yang diadakan ini dapat melatih para PKS untuk menyesuaikan diri khususnya ketika berada di alam pekerjaan kelak, melatih para PKS menjana idea dan membuat keputusan, bertindak pantas dan berintegriti, serta boleh memimpin pasukan dengan lebih dinamik. Bengkel ini turut diselangi dengan slot Kerja Berpasukan dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) pada sebelah petang.

Dengan adanya program seperti ini, diharapkan agar para pegawai kadet SISPA Muda yang baru dapat memantapkan ilmu pengetahuan dalam penulisan laporan dan artikel, mempunyai jatidiri yang kukuh untuk memimpin serta akan sentiasa bersedia untuk menjadi contoh teladan kepada para pegawai baru yang lain amnya serta semua pelajar UiTM khasnya selaras dengan Moto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), “SEDIA, PANTAS, BERINTEGRITI”.