Kolaborasi Fakulti Pendidikan, UiTM Bersama MSOSH Jayakan Anugerah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Ke-40 Tahun

Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam – Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah berbesar hati menerima jemputan sebagai rakan kolaborasi daripada pihak Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) bagi penganjuran Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-40 tahun.

Seramai 8 orang pelajar mewakili Fakulti Pendidikan diiringi oleh seorang pensyarah, Encik Mohd Hafriz Abdul Hamid bersama berkumpul di Sunway Resort & Spa, Persiaran Lagoon pada 20 dan 21 Disember 2022 bagi menyempurnakan persiapan majlis. Majlis ini dihadiri oleh Presiden MSOSH, Tuan Ahmad Fakhrul Anuar Ismail dan Pengerusi Anugerah MSOSH, Tuan Mohamad Mahathir Mohamed Younos. Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Haji Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Yang Berhormat Tuan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, Ahli Dewan Undangan Negeri Meru. Pada hari kejadian, majlis menerima kunjungan seramai 1600 orang tetamu yang terdiri daripada para penerima anugerah yang terdiri daripada beberapa kategori iaitu kategori Bronze Award, Silver Award, Grand Award, Gold Merit Award, Gold Class I Award dan Gold Class II Award.

Di antara objektif Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MSOSH ke-40 tahun ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada organisasi yang telah berjaya di dalam program Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sepanjang tahun 2021. Majlis ini juga telah mendapat sokongan dari Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan lain-lain lagi. Antara organisasi yang menyertai program ini ialah Petronas, Petron, FGV, KPJ, Sunway Group, Unified Endpoint Management (UEM), Sarawak Energy dan pelbagai organisasi dan syarikat lain di Malaysia. Menurut Presiden MSOSH, Tuan Ahmad Fakhrul Anuar Ismail, program ini juga bertujuan untuk menilai sejauh mana syarikat-syarikat tersebut mampu menjaga keselamatan serta kesihatan pekerja. Antara kriteria utama yang dinilai ialah program yang dijalankan bagi mengelakkan kemalangan berlaku di tempat kerja dan keberkesanan program tersebut.

Bagi pelajar Fakulti Pendidikan, elemen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) adalah amat signifikan kerana sebahagian besar pelajar bakal bergraduat sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan di sekolah terutama bagi guru matapelajaran Sains yang melibatkan penggunaan makmal. Hal ini memerlukan penjagaan keselamatan yang lebih terperinci bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Bukan itu sahaja, setiap bilik dan kawasan di sekolah perlu menjadi tempat yang selamat dan sihat untuk melakukan pelbagai aktiviti agar dapat mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan demi kesejahteraan sejagat.

Sekalung penghargaan kepada pihak MSOSH di atas kesudian menjemput para pelajar Fakulti Pendidikan sebagai rakan kolaborasi bagi penganjuran Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MSOSH ke-40 tahun. Diharapkan jalinan sebagai rakan kolaborasi ini dapat memberi impak yang mampan kepada para pelajar dan semoga dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang.