Lebih 1,000 orang hadir ke Persembahan Amal Malam Kita

PUNCAK ALAM, 18 DISEMBER 2022 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Dahlia telah menganjurkan satu program yang dinamakan Program Dahlia Fun Fiesta yang telah dijalankan di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam. Program ini adalah satu program yang berkonsepkan malam persembahan yang diadakan bukan sahaja untuk menerapkan konsep keusahawanan dalam kalangan pelajar, malah juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajari pengurusan program berskala besar. Di samping itu, program ini juga diadakan untuk menerapkan nilai-nilai murni melalui kutipan sumbangan yang akan diberikan kepada Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM, hasil dari penjanaan kewangan program ini.

Dahlia Fun Fiesta: Malam Kita adalah program hasil kolaborasi bersama dengan persatuan pelajar, REL-EVENT, jurugambar rasmi daripada pelajar UiTM, dan mendapat tajaan daripada pihak MZ Printing, Kopi Kampus, Spaces Dudes Studio serta KOSISWA UiTM.

Program ini telah menampilkan barisan artis terkemuka dan pempengaruh tanahair iaitu Bunkface, Ippo Hafiz and The Band dan Faiz Arbain (Helmet Singer). Program yang berdurasi selama 2 jam ini telah menerima penyertaan sebanyak 1,234 orang dari seluruh warga UiTM. Objektif penganjuran program ini telah berjaya dicapai dengan mengumpul sumbangan sebanyak RM1,234 hasil daripada penjanaan kutipan jualan tiket. Rentetan daripada itu, sumbangan tersebut akan diserahkan kepada Unit Perkhidmatan OKU UiTM sepenuhnya.

Pihak penganjur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr Badrul Isa, Pengetua Kolej Dahlia, Pejabat Bendahari, Pejabat Polis Bantuan, Unit Pengurusan Kolej Dahlia, Unit Kesihatan UiTM, Kor Sispa dan barisan jawatankuasa pelaksana Dahlia Fun Fiesta: Malam Kita diatas segala sokongan dan sumbangan yang telah diberikan secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.