Kita Tahu Kita Kongsi: Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong

Ketua Utama Negara menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Jawatan ini sudah wujud sejak kemerdekaan negara ini iaitu pada tahun 1957 di mana pada awal cadangan terma jawatan ini ialah Yang di-Pertuan Besar. Namun bagi mengelakkan kekeliruan dan ingin membezakan terma yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, maka terma Yang di-Pertuan Agong digunakan dan diabsahkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Hasil permuafakatan dan kebijakan baginda Raja-Raja yang mahu melihat semangat negara Persekutuan dapat dipasak dengan kukuh, maka jawatan ini di tafsil sebagai simbol penyatuan dalam negara yang mempunyai masyarakat berlatarbelakangkan yang berbeza. Kemerdekaan tanah air ini telah mengekalkan corak sosial di mana dasar integrasi iaitu penggabungan dua atau beberapa kaum untuk mewujudkan kerjasama dalam membangunkan identiti negara. Maka itu jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah satu simbol yang nyata tentang perpaduan dalam negara yang agak pelbagai bangsa (Groves: 1964).

Perkara 32 Fasal 1 menyatakan “Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV”, dan ini memaparkan kepada dunia bawah monarki di Malaysia amatlah unik. Umum mengetahui bahawa dalam sistem monarki jawatan tersebut hendaklah diwarisi oleh kaum kerabat yang layak sahaja, namun di Malaysia ada sedikit unsur demokrasi di mana menurut Perkara 32 Fasal 3, “ Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja atau boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja”. Bukan itu sahaja, jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga akan dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun. Pemilihan ini adalah satu aspek penting yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana memberi tiap-tiap seorang daripada sembilan orang Raja berpeluang memegang jawatan Ketua Utama bagi Persekutuan Malaysia dan ia dapat memastikan rakyat berbagai negeri dalam Persekutuan dapat memperkenalkan diri mereka lebih rapat dengan Persekutuan (F.A. Trindade: 1977).

Kita melihat jawatan Yang di-Pertuan Agong dipilih dalam kalangan Raja-Raja maka sudah pasti yang terpilih mestilah seorang Raja berketurunan Melayu dan beragama Islam. Dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan memaktubkan seorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika yang pertama, Raja itu belum dewasa. Kedua, Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat di pilih malah ini pernah berlaku ketika Almarhum Sultan Johor pada 1957 dan Almarhum Sultan Pahang pada 1970. Ketiga, Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau atas sebab-sebab yang lain. Sekurang-kurangnya yang mengundi menyokong Raja itu diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong adalah seramai lima orang anggota Majlis (kecuali Yang di-Pertua Negeri dan pemangku Raja). Majlis Raja-Raja hendaklah terlebih dahulu menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja di mana negerinya layak dipilih mengikut turutan pertama dalam senarai pemilihan yang bermaksud senarai yang memasukkan Negeri semua Raja (sembilan negeri beraja) mengikut susunan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mengiktiraf keutamaan antara mereka sendiri pada ketika itu.

Selepas pemilihan, mana-mana Raja dari mana-mana Negeri yang sudah mendahului Raja yang telah dipilih (ketika itu) menjadi Yang di-Pertuan Agong, hendaklah dipindahkan ke hujung kedudukan senarai. Contoh sekarang jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah dari Negeri Pahang, sekiranya tempoh lima tahun sudah tamat maka kedudukan Negeri Pahang akan dipindahkan ke hujung dalam senarai. Mudah kata ia adalah sistem turutan atau penggiliran yang akan melengkapkan Yang di-Pertuan Agong disandang oleh semua Negeri yang mempunyai Raja pemerintah. Apabila Raja yang telah ditawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut Jadual Ketiga dan menerimanya, maka Majlis Raja-Raja hendaklah mengisytiharkan Raja itu dipilih menjalankan amanah dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja perlu memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Parlimen (Dewan Negara dan Dewan Rakyat).

Soal pemilihan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti disebut tadi tempohnya iaitu lima tahun sama dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong. Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong semasa jawatan Yang di-Pertuan Agong kosong (Jadual Ketiga Bahagian II). Sekiranya Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih dalam tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, maka fungsinya akan berjalan selama baki tempoh jawatan tersebut. Misalnya Yang di-Pertuan Agong sudah dipilih, dua tahun selepas pemilihan itu baru dipilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, maka fungsi timbalan akan berjalan selama baki tempohnya iaitu tiga tahun. Hal ini kerana Perkara 33 Fasal 3 menyebut secara harfiah bahawa jika dalam tempoh Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih berlakunya kekosongan dalan jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka tempoh jawatannya hendaklah tamat apabila kekosongan itu diisi. Menurut pemahaman masyarakat, selalunya timbalan yang akan terus naik menggantikan ketuanya, namun bagi jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak akan secara automatik memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong meskipun baginda berada dalam kedudukan pertama sekali dalam senarai pemilihan (F.A. Trindade: 1977). Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsi dan mempunyai keistimewaan Yang di-Pertuan Agong selama apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong atau selama apa-apa tempoh Yang di-Pertuan Agong tidak dapat menjalankan fungsinya kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi tempoh menjalankan fungsi adalah jangkaan selama kurang dari lima belas hari melainkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati perlu dan suai manfaat untuk menjalankan fungsi tersebut (Perkara 33 Fasal 1).

Kita bawa tajuk seterusnya iaitu berkaitan dengan sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong (Perkara 37). Setelah dipilih dan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda perlulah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan sebelum menjalankan peranannya. Istiadat mengangkat sumpah harus dilaksanakan di hadapan Majlis Raja-Raja dan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (jika tiada Ketua Hakim Negara maka Hakim Persekutuan yang kanan selepasnya perlu hadir) serta sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Tidak lupa juga dengan istiadat mengangkat sumpah bagi jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di mana perlu dibuat sebelum menjalankan fungsinya selain fungsi yang boleh dijalankan bagi maksud memanggil Majlis Raja-Raja bermesyuarat. Situasinya sama di mana perlu berhadapan dengan Majlis Raja-Raja dan dihadiri oleh Ketua Hakim Negara Persekutuan (jika tiada Ketua Hakim Negara maka Hakim Persekutuan yang kanan selepasnya perlu hadir).

Sumpah jawatan seperti yang termaktub di dalam Jadual Keempat Bahagian I (bagi Yang di-Pertuan Agong) dan Bahagian II (bagi Timbalan Yang di-Pertuan Agong) Perlembagaan Persekutuan berbunyi;

BAHAGIAN I

Kami………………………………………………………ibni…………………………………………….
Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:

Wallahi: Wabillahi: Watallahi:

maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyhurkan dan akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.

BAHAGIAN II

Kami………………………………………………………ibni…………………………………………….
yang telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:

Wallahi: Wabillahi: Watallahi:

dan dengan lafaz ini berikirarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tanggungan Kami yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh undang-undang dan Perlembagaan Negeri Malaysia.

Konklusinya, jawatan Yang di-Pertuan Agong ini seperti yang dikatakan di awal penulisan tadi, sangatlah unik dan sangat penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebelum kemerdekaan, Suruhanjaya Perlembagaan atau dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah diarah oleh Duli Tuanku Raja-Raja untuk memasukkan peruntukan berkaitan dengan jawatan Yang di-Pertuan Agong yang akan disandang oleh Raja-Raja bagi sembilan buah negeri di dalam Perlembagaan Persekutuan (Memorandum Raja-Raja: 1956). Kedudukan Yang di-Pertuan Agong merupakan kekuatan kohesi dalam struktur persekutuan (Groves: 1964). Maka itu, sebagai rakyat yang berada di bawah naungan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong seharusnya akui bahawa jawatan ini adalah satu amanah berat yang dipikul oleh Raja-Raja demi mencapai matlamat sebuah negara Persekutuan bersandarkan pada moto kebangsaan negara iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”.