Istiadat Konvokesyen ke-97 : 2 orang graduan Diploma Perakaunan dianugerahkan Anugerah Graduan Terbaik (AGT)

Kota Kinabalu, SABAH – Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97 yang lalu telah merekodkan seramai 142 orang graduan Diploma Perakaunan (AC110). Daripada jumlah ini, 42 orang daripadanya adalah penerima Anugerah Naib Canselor (ANC). Kumpulan ini merupakan kumpulan yang telah menjalani sesi pembelajaran secara ‘Open and Distance Learning’ atau ODL semasa mereka baharu seminggu memulakan pengajian mereka pada semester kedua. Sesungguhnya segala cabaran dan dugaan yang mereka dan rakan-rakan lain lalui merupakan sesuatu yang tidak mudah untuk dilupakan.

Lebih membanggakan, dua (2) orang daripada mereka telah turut dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik. Mereka adalah Saudari Nurul Syazana Binti Tuah – Anugerah Khas Rektor (Diploma) dan Saudari Nur Zahiah Binti Saideh – Anugerah Persatuan Alumni UiTM Cawangan Sabah.

Istiadat yang berlangsung selama tiga hari tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Pro-Canselor yang baharu dimahsyurkan pada istiadat konvokesyen ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam pada 5 Ogos 2023 yang lalu, iaitu Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hassan Said yang juga merupakan mantan Naib Canselor UiTM yang ke-5.

Tahniah diucapkan kepada semua graduan Diploma Perakaunan yang berkenaan. Senarai graduan yang mendapat Anugerah Naib Canselor berkenaan boleh ditonton melalui pautan ini: https://www.youtube.com/watch?v=azUSkEJhX6w. Semoga segala dugaan yang telah dihadapi akan menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha dan mencapai kecemerlangan yang lebih bermakna pada masa akan datang.