Program Keprihatinan Terhadap Isu Kesihatan Mental Di Kalangan Remaja dan Mahasiswa

SHAH ALAM 7 Oktober 2023 – Isu kesihatan mental di kalangan remaja dan pelajar universiti menjadi semakin ketara selepas beransurnya pandemik COVID19. Terdapat peningkatan di dalam pelaporan kes kesihatan mental golongan remaja, di mana satu tinjauan umum pada tahun 2022 oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia (NHMS) mendapati seorang dalam 10 orang remaja pernah mencuba untuk membunuh diri.

Dalam menangani masalah ini, Unit ICAN (Jaringan Komuniti, Industri dan Amuni) Bidang Ukur Bangunan, Kolej Pengajian Alam Bina telah berganding bahu dengan Pertubuhan Minda Progresif, sebuah organisasi bukan kerajaan, telah mengambil inisiatif mengadakan sebuah program kesedaran kesihatan mental di kalangan remaja dan warga UiTM Shah Alam. Program yang berlangsung pada 7hb Oktober, 2023 di Dewan Kuliah, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Shah Alam telah mendapat sambutan yang memberangsangkan di kalangan pelajar dan pensyarah dari UiTM Shah Alam. Seramai hampir 170 orang peserta hadir ke program tersebut yang menyajikan tiga sesi ceramah dari panel berpengalaman dan satu kaunseling berkumpulanjuga telah diadakan sesama peserta.

Ceramah pertama bertajuk “Masalah kesihatan mental di kalangan mahasiswa UiTM Shah Alam” telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Kerjaya dan Kaunseling, UiTM Shah Alam, Pn Wan Noraini Wan Yusoff. Beliau mendedahkan terdapat peningkatan berterusan di dalam kes kesihatan mental yang dilaporkan melalui sesi kaunseling oleh Pusat Kerjaya dan Kaunseling. Di antara masalah kesihatan mental yang dikenal pasti adalah “Schizophrenia”, Kemurungan kronik, “Obsessive-Compulsion Disorder” (OCD) dan “Post-Traumatic Stress Disorder” (PTSD).

Sesi ceramah yang kedua telah disampaikan oleh Profesor Pendidikan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang bertajuk “The power of resilience: Overcoming adversity in the pursuit of wellbeing”. Beliau mengajak peserta untuk melihat tekanan hidup di dalam kerangka Islam, di mana ia adalah salah satu cara di sisi Allah untuk mendidik dan menguatkan rohani dan perbadi manusia. Selain itu, tekanan hidup adalah antara cara Allah mengampuni dosa hamba-hamba-Nya. Beliau mencadangkan Model Keperluan Manusia berlandaskan prinsip Islam perlu digunapakai oleh umat Islam dalam menangani tekanan hidup.

Ceramah terakhir yang bertajuk “Dealing with depression and life challenges among youth post-COVID19” oleh kaunselor berdaftar, En Ammar (Mark) Abuzahra dari Syarikat “Relationary”. Dalam ceramah beliau, beliau juga telah mengakui adanya peningkatan kes kesihatan mental di kalangan remaja, samada semasa atau selepas berlakunya pandemik COVID-19. Sebagai salah satu jalan penyelesaian, beliau menyarankan golongan remaja yang mengalamai tekanan emosi dan mental untuk mendapatkan bantuan melalui sesi kaunseling. Ini kerana, hanya minda yang sejahtera dan stabil dapat membentuk perhubungan yang baik sesama manusia.

Seusai sesi ketiga-tiga ceramah, sesi kaunseling secara dalam kumpulan telah diadakan yang melibatkan semua peserta yang hadir bersama-sama fasilitator dari kumpulan kaunselor dari Syarikat “Relationary”. Sesi ini menarik perhatian semua peserta bagaimana kita oleh memahami keadaan kesihatan mental diri sendiri dan orang disekeliling kita. Proses-proses kaunseling juga didedahkan kepada para peserta. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya membuka mata warga dan mahasiswa UiTM Shah Alam berkenaan masalah kesihatan mental remaja serta keadah-kaedah untuk menanganinya.

Hasil daripada usaha program ini berjaya diadakan, pihak UiTM Shah Alam bercadang untuk memberi kerjasama dengan institusi kesihatan awam dan swasta pada masa hadapan bagi merangka dan merancang program kesihatan mental remaja yang lebih berkesan, demi meningkatkan jati diri dan kesejahteraan mental generasi muda yang menjadi tonggak kemajuan agama, bangsa dan negara di masa hadapan.