Honor Talents 2022 Global Design Award

PUNCAK ALAM, 12 Disember – Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kolej Pengajian Seni Kreatif telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan HONOR Talents 2022 Global Design Awards kolaborasi bersama Syarikat HONOR (Malaysia) pada 06 Disember 2022 yang bertempat di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Majlis ini telah mendapat sambutan baik dan telah disertai oleh para hadirin dan pemenang yang merupakan mahasiswa yang terdiri daripada semua kampus cawangan termasuk UiTM Kampus Puncak Alam, UiTM Cawangan Kelantan, UiTM Cawangan Sarawak, UiTM Cawangan Kedah, UiTM Cawangan Perak dan UiTM Cawangan Melaka.

Kolaborasi sinergi antara UiTM dan HONOR ini telah menghasilkan satu program yang berimpak tinggi kepada pelajar yang turut serta bersama menjayakan pertandingan yang dianjurkan oleh HONOR yang bermula daripada 30 Mei 2022 hingga 07 Oktober 2022. Pertandingan ini adalah platform untuk mempamerkan bakat dan hasil karya pelajar melalui rekaan grafik dimana pelajar perlu mereka bentuk seni mengikut kreativiti masing-masing dalam menghasilkan karya digital untuk kategori yang dipertandingkan iaitu Visual Communication Design (Wallpapers, Foldable Wallpapers, Watches, dan Open Designs) serta Art & Technology AR (Interactive Artwork Design dan Interactive Art Installation Design).

Daripada 150 hasil karya yang bertanding, hasil karya seorang pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif Semester tiga (3), Cik Nurin Nazihah Abd. Gani daripada Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, UiTM Kampus Machang telah memenangi pertandingan yang diacarakan ini. Karya bertemakan Renewal of Life: Return yang dihasilkan berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori Visual Communication Design. Penglibatan pelajar-pelajar daripada UiTM Cawangan Kelantan bagi pertandingan ini telah dibimbing dan melalui proses konsultasi design oleh Cik Roziani Mat Nashir @ Mohd Nasir. Beliau juga merupakan pensyarah pengiring yang turut bersama-sama memberi sokongan kepada pelajar semasa majlis penyampaian anugerah tersebut.

Pertandingan ini turut mendapat sokongan penuh daripada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan, En. Meer Zhar Farouk Amir Razli, Ketua Pusat Pengajian Seni Kreatif, Pn.Ts. Emilia Abdul Manan dan juga Penyelaras Program Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, Dr. Mat Redhuan Samsudin. Penglibatan dan kemenangan pelajar ini secara tidak langsung telah membanggakan dan menaikkan nama UiTM Cawangan Kelantan di peringkat global.

Selaku penganjur pertandingan, HONOR Talents Global Design Awards komited untuk menyatukan pereka-pereka muda yang berbakat dalam bidang seni reka. Ia bertujuan untuk menggunakan pelbagai sumber jenama HONOR untuk membantu, memperkasa dan memupuk kuasa inovatif baharu. Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, projek ini mempunyai penglibatan global antara seni dan teknologi dalam reka bentuk seni, reka bentuk mudah alih dan ekspresi reka bentuk baharu.

Selain menjadi pertandingan reka bentuk visual antarabangsa, HONOR Talents juga sentiasa mengekalkan semangat penerokaan seni reka dalam kalangan peserta. Untuk membolehkan pengguna menghargai sepenuhnya keindahan inovatif antara teknologi dan seni, inisiatif HONOR Talents mengadakan pertandingan ini dapat membawa konsep reka bentuk seni yang unggul kepada produk teknologi HONOR.

Secara keseluruhannya, program yang diadakan ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi dan pendedahan kepada para pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif secara khususnya untuk terus menerokai dunia seni reka dan belajar untuk menghasilkan seni yang lebih kreatif dan inovatif.