Program International AI and Data Summit 2022

Kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai Artificial Intelligence (AI) merupakan kecerdasan dimiliki dan diaplikasi di dalam sistem beraturcara atau mesin jentera yang boleh melaksanakan tugas dan fungsi yang serupa dengan apa yang dihasilkan oleh pemikiran manusia. Penggunaan teknologi AI amat penting dalam menyelesaikan kerja-kerja yang kompleks bagi menjimatkan masa dan tenaga manusia. Justeru, teknologi AI kini makin berkembang dan banyak teknologi moden kini mengaplikasi dan menggunakan AI dalam pembuatan dan penghasilannya. Kemampuan AI kini digunakan secara meluas dalam bidang-bidang seperti pemprosesan maklumat, permainan komputer, keselamatan negara, perdagangan elektronik, dan sistem diagnostik. Oleh kerana itu, lebih ramai yang diperlukan untuk menceburi dan mendalami bidang AI ini.

Justeru satu program telah dilaksanakan iaitu International AI and Data Summit 2022 bertujuan untuk memberi pendedahan dan perkongsian ilmu mengenai Artificial Intelligence (AI). Program ini dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang, Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA) UiTM Cawangan Pahang, Jawatankuasa Big Data Lab, UiTM Cawangan Pahang, Woman in AI Malaysia (WAI) dan Institut Big Data dan Analitik (IBDAAI) UiTM Shah Alam. Program ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang. Program ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 7 dan 8 Disember 2022 secara maya melalui aplikasi Webex dan Facebook Live (Facebook UiTM Cawangan Pahang).

Program pada hari pertama adalah berkonsepkan webinar. Terdapat 4 siri webinar yang bertemakan AI telah berjaya dilaksanakan bermula dari jam 2.00 petang sehingga jam 5.20 petang. 202 peserta dari dalam dan luar UiTM telah menyertai program webinar ini. Penceramah untuk webinar 1 ialah Dr. Bashir Mohamed dari Berkeley Lab, California, USA. Penceramah untuk webinar 2 ialah Dr. Fairoza Amirah Hamzah dari Women in AI Malaysia (WAI). Penceramah untuk webinar 3 ialah Prof. Madya Dr. Marina Yusoff dari Institut Analitik Data Raya dan Kepintaran Buatan (IBDAAI), UiTM Shah Alam. Penceramah untuk webinar 4 ialah Dr. Syuria Amirrudin dari Shell, London UK.

Program pada hari kedua pula adalah berkonsepkan forum. Program ini bermula dari jam 2:30 petang hingga 4.00 petang dan telah disertai oleh 108 orang. Terdapat 5 orang ahli panel telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang bertemakan Sustainable Data: The Way Forward? Ahli panel terdiri daripada Dr. Geetha Nadarajan dari OpusTech, En. Ammar Zolkipli dari ITXOTIC, Prof. Dr. Fairouz M Aldhmour dari Arabian Gulf University Bahrain, Dr. Abeer Alkhwaldi dari Mutah University. Jordan dan Mr. Jean F. Queralt dari The IO Foundation.

Semua penceramah dan ahli panel forum telah berkongsi ilmu tentang AI dari pelbagai sudut dan bidang seperti Security, Data, Health, Science, Safety dengan sangat jelas dan menarik. Sesi soal jawab antara peserta dan penceramah juga berjalan dengan lancar di mana kebanyakan peserta bertanyakan soalan di ruangan chat. Program di hari kedua diteruskan dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Nazirah Ramli, Timbalan Rektor, Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang. Program telah berakhir pada jam 5 petang.

Perkongsian melalui program ini memberi peluang kepada para peserta untuk menambah ilmu pengetahuan sedia ada dan juga mempelajari ilmu-ilmu baru terutamanya dalam bidang Artificial Intelligence (AI) dan data. Program ini diharapkan dapat memberi manfaat yang baik bukan sahaja kepada warga UiTM tetapi juga kepada semua peserta yang turut sama menyertai program ini. Hasil daripada penilaian terhadap program ini, para peserta memberikan komen yang sangat positif dan memberangsangkan serta mengharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi. Semoga program kerjasama seumpama ini dapat diteruskan dan dapat mencapai matlamat serta objektif yang telah digariskan seterusnya memberikan impak positif kepada para peserta.