Homecoming Alumni 1979-1982, Fakulti Pengurusan & Perniagaan

2 Oktober 2022 – Satu majlis sirih pulang ke gagang @ Homecoming Alumni Fakulti Pengurusan & Perniagaan 1979-1982 dihadiri oleh kira-kira 60 alumni dari Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Perbankan tahun 1979-1982. Program ini dianjurkan oleh Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (ICAN, FPP) dengan kerjasama Pusat Jaringan Alumni, Pejabat Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ANC, ICAN UiTM) bertempat di UiTM Shah Alam, Selangor. Kepulangan kumpulan alumni ini ke UiTM mencerminkan betapa dekatnya UiTM dihati mereka seterusnya dapat mengeratkan hubungan ukhawah dan keharmonian antara para alumni dan UiTM.

Majlis yang julung kali diadakan di dalam suasana kampus UiTM Shah Alam ini bertujuan mengimbau kembali detik alumni bergelar pelajar ketika 40 tahun yang lepas. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran, Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN untuk sesi ramah mesra dan sesi “networking”. Pelbagai acara yang diadakan sepanjang satu hari ini seperti Majlis Tahlil, Khatam Al Quran, tayangan video bagi memperingati alumni yang telah meninggal dunia, jamuan tengahari serta lawatan ke beberapa tempat disekitar Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) yang menjadi nostalgia alumni ketika mereka bergelar pelajar. Antara tempat dilawati bagi mengimbas memori alumni seperti Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Dewan Seri Budiman dan Bilik Kuliah DK1 yang kini menjadi Dewan Kuliah Fakulti Sains Gunaan.

Penganjuran program seperti ini yang akan diadakan secara berterusan bagi menarik lebih ramai graduan FBM menjadi ahli MyAlumni UiTM, meningkat hubungan antara pihak UiTM dan alumni. Pada masa yang sama juga ia membuktikan komitment UiTM dan penghormatan kepada bekas mahasiswa seterusnya menjadi pemangkin kepada alumni untuk menyumbang kembali kepada UiTM terutamanya dari segi kepakaran.

Penulis: Dr Mohd Zamri Abu Bakar dan Dr Nor Farradila Abdul Aziz, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UITM Puncak Alam