Kunjungan Hormat Mengadap Ybhg. Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)

Kumpulan penyelidik kajian Wali Songo UiTM Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat mengadap Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di pejabatnya di Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah pada 3 Oktober 2022.

Kunjungan hormat ini diadakan bagi mendapatkan keizinan dan memaklumkan mengenai kajian Islam Nusantara ke Sabah iaitu menyelidiki, menelaah dan mengenalpasti fakta-fakta sejarah menerusi “Kajian Sejarah Kemasukan Islam Ke Sabah”, dan secara khusus berhasrat untuk mengkaji sejarah awal Islam di Negeri Sabah; mengenalpasti hubungan sejarah kemasukkan Islam di Sabah dan hubungkaitnya dengan Brunei, Sulawesi dan Sulu; dan menziarahi secara langsung kesan sejarah yang berkaitan dengan Islam di Negeri Sabah.
Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin menyambut baik ahli rombongan kajian ini dan berbesar hati untuk memberi sokongan dalam menjayakan inisiatif kajian ini. Beliau menambah sejarah wajar dicatat dan direkod sebagai bukti kekal dan rujukan sampai bila-bila dan oleh sesiapa sahaja. Sejarah juga menjadi input dalam perancangan masa depan yang lebih sistematik dan komprehensif.

Kumpulan penyelidik UiTM ini diketuai oleh Prof. Dato Dr Jamil bin Haji Hamali (Rektor, UiTM Sarawak merangkap Ketua Kumpulan Penyelidik); dan dihadiri juga oleh Prof. Madya Dr. Saimi bin Bujang, Prof. Madya Dr. Hadenan bin Towpek dan Prof. Madya Dr. Abdul Razak bin Abd. Kadir.