APB UiTM Cawangan Pahang: Program Jelajah Alam & Manusia Di Gua Kota Gelanggi

Pada tanggal 24 September 2022 yang lalu, sebuah program berbentuk rekreasi iaitu Program Jelajah Alam & Manusia di Gua Kota Gelanggi telah dianjurkan secara bersama di antara Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dan FELDA Residence Tekam, Jerantut Pahang. Antara objektif penganjuran program ini adalah ianya bertujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan ukhuwah di antara sesama peserta disamping mempelajari ilmu mengenai alam dan sejarah perjuangan pahlawan Melayu Pahang. Program yang berpaksikan kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs) Kesihatan Baik & Kesejahteraan (Matlamat SDG 3), Bandar & Masyarakat Mampan (Matlamat SDG 11) dan Kehidupan di Darat (Matlamat SDG 15) telah disertai oleh 21 orang peserta yang terdiri dari warga UiTM Cawangan Pahang dan ahli keluarga mereka secara amnya dan warga APB secara khususnya.

Penjelajahan telah bemula seawal pukul 9 pagi di mana semua peserta telah dibawa ke tujuh gua yang berlainan di Kota Gelanggi iaitu Gua Angin, Gua Gajah, Gua Sanding, Gua Potret, Gua Kepala Gajah, Gua Tongkat dan Gua Gelap. Dua orang pegawai FELDA Residence Tekam yang berpengalaman luas bertanggungjawab untuk mengiringi semua peserta sepanjang penerokaan gua ini dan sejarah mengenai gua-gua ini telah dikongsikan dengan menarik dan mudah difahami. Para peserta juga berkesempatan untuk merasai pengalaman unik di dalam gua sambil menyelusuri jejak pahlawan Pahang iaitu Mat Kilau dalam urusannya mempelajari seni silat dan pertapaan.

Diharapkan program sebegini dapat dianjurkan lagi kerana ianya merupakan sebuah program rekreasi yang bukan sahaja menarik sebagai aktiviti pengisian masa lapang yang berkualiti malahan ianya bermanfaat untuk ilmu pengetahuan semua peserta.