HEP UiTM Lafaz Ikrar Kod Nilai Dan Etika Warga Universiti Teknologi Mara

08 Ogos 2022 – Shah Alam, Pekeliling Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bilangan 05 menyatakan tentang pematuhan kepada Kod Nilai dan Etika Warga UiTM. Tidak ketinggalan, warga Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Shah Alam juga menyambut baik inisiatif ini dengan berkumpul lalu melafazkan Ikrar Kod Nilai dan Etika UiTM pada jam 11 pagi bertempat di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Mawar UiTM Shah Alam.

Kod Nilai dan Etika Warga UiTM adalah satu garis panduan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang menggabungkan penghayatan Budaya PERDANA di samping pembudayaan nilai ESI dan iDART serta tindakan berlandaskan undang-undang, peraturan, pekeliling, dasar dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa untuk dipatuhi oleh warga UiTM. Kepatuhan terhadap undang-undang, dasar dan peraturan universiti oleh staf dan pelajar Universiti Teknologi MARA amatlah dititik beratkan oleh pihak pengurusan universiti.

Majlis disempuranakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM dengan pimpinan bacaan ikrar oleh Tun Erman Toiman, Pembantu Kokurikulum Kanan, Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam diikuti bersama kurang lebih 200 warga BHEP. Kesedaran staf dan pelajar terhadap isu-isu integriti adalah penting bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh diambil kepada mereka atas faktor kecuaian dan kelalaian dalam memahami undang-undang, dasar dan peraturan universiti.

Untuk melahirkan warga HEP UiTM yang bertatasusila, bersatu padu, demokratik, adil dan progresif, pengurusan BHEP harus menjadi contoh tauladan kepada semua staf dan mahasiswa. Kepatuhan terhadap Kod Nilai dan Etika UiTM perlu dititikberatkan bagi melahirkan warga HEP yang memiliki nilai etika yang baik dan berkualiti tinggi. Menyedari kepentingan ini, Staf UiTM hendaklah membaca, memahami dan mematuhi Kod Nilai dan Etika Warga UiTM dan menandatangani Surat Pernyataan Komitmen pematuhan kepada Kod Nilai dan Etika Warga.