UiTM Cawangan Negeri Sembilan Meriahkan Karnival S.T.E.M, Kerjaya Dan Kesihatan SMK Seri Jempol

Pada 6 Julai 2022 yang lalu, UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) Kampus Kuala Pilah telah menerima undangan untuk mengadakan promosi dan pameran kerjaya bersempena dengan Karnival STEM, Kerjaya & Kesihatan yang dianjurkan oleh SMK Seri Jempol. Sejumlah 12 orang staf akademik telah terlibat, terdiri daripada wakil-wakil daripada beberapa pusat pengajian dan jabatan seperti Pusat Pengajian Biologi, Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Jabatan Fizik dan Sains Bahan, Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, serta Unit Pra Pendidikan Tinggi (PPT).

Program telah bermula seawal jam 9.30 pagi dengan aktiviti pameran S.T.E.M dan promosi program-program UiTM bertempat di Makmal Sains SMK Seri Jempol. Para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran berkaitan dengan serangga baik dan serangga perosak, proses tumbesaran tumbuhan seperti jagung dan kekacang, jenis-jenis mikroorganisma, serta sampel tumbuhan berbunga dan tidak berbunga. Melalui pameran ini, para pelajar boleh mendapatkan informasi secara langsung berkaitan bidang biologi dan mikrobiologi daripada para pensyarah Pusat Pengajian Biologi. Selain daripada aktiviti pameran, para pelajar juga boleh menguji kemampuan minda mereka melalui permainan Metal Ring Puzzle yang dikendalikan oleh para pensyarah JSKM Kuala Pilah. Ia bukan sahaja menambah kreativiti pelajar, tetapi ia juga meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan mereka.

Sementara itu, pada jam 11.00 pagi pula, telah diadakan sesi taklimat bersama dengan para pelajar tingkatan 4 dan 5, berkaitan dengan halatuju pendidikan selepas SPM. Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Ts. Siti Nafisah Md Rashid selaku Koordinator Program Pra Pendidikan Tinggi UiTMCNS. Melalui perkongsian ini, para pelajar telah diberikan informasi terkini berkaitan dengan program-program pengajian yang ditawarkan oleh UiTM untuk lepasan SPM seperti program Asasi UiTM, Diploma UiTM dan Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM. Sebanyak 5 program pra diploma ditawarkan oleh UiTM iaitu Pra-Diploma (Sains), Pra Diploma Perdagangan, Pra-Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Pengajian Islam dan Pra Diploma Agroteknologi.

Program pameran dan promosi ini telah berakhir pada jam 1.00 petang dengan ucapan penutup dan penyampaian cenderahati oleh Pengetua SMK Seri Jempol, Pn. Zainon binti Idris kepada semua wakil institusi yang telah menyertai program pada hari tersebut.