Hari Pembukaan Pusat Aktiviti Keusahawanan Pelajar MASMED UiTM Cawangan Pahang

Jawatankuasa Projek Asnafpreneur dengan kerjasama MASMED dan KOSISWA UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Hari Pembukaan Pusat Aktiviti Keusahawanan Pelajar MASMED pada 20 Oktober 2023 bertempat di Blok B Bangunan Kolej Tun Teja, Kampus Jengka. Pusat aktiviti ini mempunyai empat buah bilik yang telah ditetapkan sebagai bilik operasi bagi perkhidmatan spa, dandanan dan gunting rambut, urutan sukan dan pejabat. Program ini diadakan bagi tujuan hebahan kepada warga kampus tentang pembukaan pusat aktiviti keusahawanan pelajar dan juga mempromosikan perkhidmatan yang disediakan oleh peserta-peserta Projek Asnafpreneur UiTM Cawangan Pahang.

Projek Asnafpreneur merupakan satu usaha untuk melahirkan pelajar berhati, jiwa dan minda usahawan. Projek yang ditaja oleh pihak Maybank Islamic Berhad dengan dana geran berjumlah RM500,000.00 telah digunakan untuk membiayai kos latihan, peralatan, pengangkutan dan elaun kehadiran serta lain-lain keperluan projek. Peserta-peserta dijangka boleh memberikan perkhidmatan perniagaan bergerak (mobile business) bagi menjana pendapatan peribadi.

Pusat aktiviti ini telah dilengkapi dengan peralatan-peralatan operasi mengikut keperluan perkhidmatan yang ditawarkan. Katil-katil untuk urutan sukan, katil spa dan mesin sauna, kerusi gunting rambut dan cermin serta perkakasan lain turut disediakan bagi tujuan perkhidmatan. Kadar bayaran bagi perkhidmatan yang ditawarkan adalah berpatutan dan sesuai dengan tahap kemahiran peserta asnaf yang masih dalam tempoh latihan praktikal.

Program Hari Pembukaan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar dan staf UiTM Cawangan Pahang yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan. Malah, program ini mendapat sokongan pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang apabila YBhg Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, yang menjalankan fungsi Rektor hadir dengan diiringi oleh Puan Maisarah Ishak, Koordinator MASMED. Kehadiran YBhg Prof. melawat pusat aktiviti ini membuktikan keseriusan beliau dalam mendukung kelestarian agenda keusahawanan di kampus, serta ikhtiar untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan. Diharapkan dengan pengoperasian Pusat Aktiviti Keusahawanan Pelajar ini akan membuka ruang dan peluang untuk penerapan budaya dan nilai keusahawanan di kalangan pelajar.