Hari Aduan Fakulti 2.0

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 24 November 2022: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menjalankan program tahunan persatuan iaitu Hari Aduan Fakulti 2.0 secara atas talian melalui Microsoft Teams pada 24 November 2022 (Khamis). Program ini telah menjemput seramai 85 orang mahasiswa yang terdiri daripada persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam. Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk mewujudkan platform bagi para mahasiswa untuk mereka mengongsikan mengenai masalah mereka dengan lebih efektif serta dapat membantu pihak pengurusan fakulti dalam mengenalpasti masalah yang berlaku di dalam fakulti seterusnya memudahkan penyaluran penyelesaian kepada permasalahan tersebut.

Dalam pengisian program Hari Aduan Fakulti 2.0 ini, terdapat dua slot yang telah dijalankan iaitu slot pertama dan slot kedua. Bagi slot pertama, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Sains Kesihatan sesi 2021/2022 iaitu Saudari Nursyamila Binti Mohd Noordin dan Saudara Muhammad Syazwan Bin Arbangi, bersama-sama dengan Presiden SMF Fakulti Sains Kesihatan sesi 2021/2022 telah mengulas dan memberikan penyelesaian kepada isu-isu yang berbangkit atau aduan yang telah dikumpul melalui Borang Aduan Fakutli yang telah disebarkan melalui Google Form. Terdapat pelbagai isu-isu berbangkit yang telah diulas seperti isu capaian Wi-Fi yang perlahan disekitar kawasan dewan kuliah dan bilik luliah di fakulti telah dibincangkan semasa slot pertama.

Bagi slot kedua pula, para peserta telah diberikan peluang untuk mengajukan soalan kepada kedua-dua MPP dan Presiden SMF melalui pautan Padlet yang telah dikongsikan kepada peserta. Para peserta telah mengambil peluang ini untuk bertanyakan mengenai kemusykilan serta permasalahan yang sering berlaku seperti mengenai bantuan untuk mangsa banjir dan isu penempatan kolej. Kebanyakan persoalan yang telah diajukan dan kemusykilan para peserta telah dijawab dengan baik oleh kedua-dua MPP dan juga Presiden SMF.

Dengan adanya program ini, para mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan berpeluang untuk menyuarakan masalah yang dihadapi oleh mereka di dalam fakulti mahupun di kolej dan juga secara tidak langsung dapat memupuk sifat bertanggungjawab dan amanah dalam diri mahasiswa dalam menjadi mahasiswa yang lebih telus dalam melaporkan kekurangan dan permasalahan di dalam fakulti. Secara keseluruhannya, diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa yang akan datang agar para mahasiswa Fakulti Sains Kesiihatan menjadi lebih berani untuk menggunakan suara mereka demi kebaikan mahasiswa itu sendiri dan juga fakulti.