“From Sports Science To Fitness Entrepreneur” Bersama Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi, Uitm Cawangan Pahang

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) adalah 17 agenda matlamat global yang saling berkaitan yang dirancang untuk mengakhiri kemiskinan dan kekurangan di peringkat global. 17 agenda matlamat ini telah dibangunkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memfokuskan kepada peningkatan kesihatan dan pendidikan, mengurangkan ketidaksamaan, dan memacu pertumbuhan ekonomi , di samping menangani perubahan iklim dan berusaha untuk memelihara lautan dan flora fauna dunia.

Seiring dengan matlamat kelestarian ini, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Webinar melalui platfom Webex yang bertarikh 24 Jun 2021 (Khamis), selama sejam dengan tajuk “From Sports Science to Fitness Entrepreneur” bagi menyokong matlamat SDG 3: “Memastikan kehidupan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan pada semua peringkat usia”, SDG 4: “Menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua” dan SDG 17: “Menguatkan cara pengamalan dan menggiatkan kerjasama demi pembangunan mampan.”

Objektif webinar ini adalah bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi membuka minda, dan meningkatkan pengetahuan masyarakat terutamanya di kalangan pelajar dan bakal graduan untuk mengenal pasti ruang dan peluang dalam menjana pendapatan melalui industri keusahawanan yang berasaskan bidang Sains Sukan. Bagi menjayakan program ini, Persatuan pelajar Diploma Bachelor of Sports Science Association “DiBSSA” dan Kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Pahang telah menjemput alumni FSR iaitu Encik Tuan Asyrani Nasir bin Tuan Mohamad Hashim sebagai panel jemputan.

Sebagai usahawan dan juga alumni Sains Sukan, beliau telah menggunakan pengalaman dan kelebihan yang telah ditimba semasa pengajian ke dalam bidang perniagaan yang memfokuskan kepentingan sukan, kesihatan dan kecergasan yang baik kepada warga Malaysia. Program ini telah menarik minat 285 peserta yang terdiri daripada warga UiTM, alumni UiTM, institusi awam dan masyarakat luar.

Semasa sesi webinar berlangsung, panel dan moderator turut berkongsi pendapat, pengalaman dan pengetahuan berkaitan dengan perjalanan untuk mula menapak dalam skop keusahawanan ini. Antara perkara yang sering ditekankan oleh panel dalam menghadapi cabaran sebagai usahawan adalah membina jati diri serta fokus dalam jalinan sosial dikalangan orang yang berfikiran positif. Ini adalah penting untuk memastikan motivasi dan inspirasi sentiasa konsisten dan tidak mudah mengalah apabila menghadapi cabaran dalam perniagaan. Selain daripada itu, panel juga berkongsi mengenai cabaran-cabaran yang di hadapi terutamanya di musim Pandemik yang melanda negara ketika ini. Ini sedikit sebanyak memberi impak terhadap ekonomi setempat terutamanya industri keusahawanan. Walaubagaimanapun, panel menegaskan bahawa setiap rintangan yang dihadapi akan mematangkan individu tersebut dan menyarankan agar tetap berusaha sehingga berjaya.

Selesai sesi perkongsian, aktiviti webinar diteruskan dengan sesi soal jawab. Melalui sesi ini banyak persoalan yang diberikan oleh para peserta dan dapat diterangkan secara terperinci oleh panel jemputan dan moderator. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan ilmu serta membuka minda para peserta untuk mula mencari peluang dalam pasaran perniagaan yang berasaskan sukan,kesihatan dan kecergasan. Berdasarkan pelan strategik Universiti, penganjuran program sebegini dapat memberikan faedah dan kebaikan demi jangkauan dalam komuniti dan masyarakat untuk meningkatkan dan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

Akhir kata, jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Encik Tuan Asyrani Nasir Bin Tuan Mohamad Hashim dan para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Selamat maju jaya Tuan Asyrani dan ayuh kita sihat !.