Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ (Siri 6)

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah mengadakan sesi ‘Sembang Ofis Kita’ Siri 6 pada 21 Jun 2021. Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ diadakan secara maya melalui aplikasi Google Meet pada jam 10.30 pagi. Siri 6 kali ini bertajuk Pengurusan Kualiti disampaikan oleh Puan Hanizan Abdul Samat. Dalam sesi yang mengambil masa lebih kurang 45 minit tersebut, beliau berkongsi tentang peranan staf yang amat penting di dalam membudayakan kualiti ketika menjalankan tugasan yang diberi.

Pengurusan Kualiti merupakan agenda penting untuk memacu kecemerlangan universiti. Pengurusan Kualiti UiTM melibatkan aspek kecemerlangan organisasi, kecekapan modal insan, keberkesanan proses dan teknologi. Bagi menerapkan kualiti sebagai budaya semua warga universiti, peranan masing-masing perlu jelas agar pengurusan jaminan kualiti institusi lebih terarah. Dokumen Tadbir Urus Kualiti sebagai rujukan mampu memastikan pengurusan jaminan kualiti dikendalikan dengan menyeluruh, cekap dan berterusan.

Warga BPPPA dimaklumkan mengenai prosedur ISO yang terdapat di BPPA iaitu Prosedur Asas, Prosedur Aktiviti dan Prosedur Am. Prosedur Asas di BPPA terdiri daripada Kawalan Dokumen, Kawalan Rekod Kualiti, Audit Kualiti Dalaman, Kawalan Ketidakpatuhan Produk, Tindakan Pembetulan, Tindakan Pencegahan dan Pengurusan Risiko. Prosedur Aktiviti pula melibatkan Penyediaan Surat Pengumuman Kertas Soalan, Penerimaan Kertas Soalan, Memasukkan Keperluan Kertas Soalan, Pengagihan, Mencetak dan Memproses Kertas Soalan Selepas Dicetak.

Seterusnya Pengurusan Kertas Soalan Berkategori Kod Merah, Menyerahkan Kertas Soalan dan Memproses Kertas Soalan di UiTM Cawangan. Manakala Prosedur Am melibatkan Mesyuarat Kaji Semula Pengurusan, Perolehan Pembangunan Sumber Manusia, Analisis Data, Keselamatan, Kawalan Bilik Kebal, Pengendalian Aduan Pelanggan dan Pemeliharaan Produk Pelanggan.

Selain itu, perkongsian tentang pencapaian BPPA, isu luaran dan dalaman yang mempengaruhi sistem pengurusan kualiti serta aktiviti berkaitan tentang kualiti turut dinyatakan.

Semoga sesi perkongsian ini memberi manfaat dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan kualiti di BPPA. Semua warga BPPA diharap dapat bersama-sama berganding bahu di dalam mengekalkan kualiti sedia ada.