Food Bank Siswa 2.0 UiTM Kampus Kuala Pilah – Program Bantuan UiTM PRIHATIN

Pada 16 Februari 2021, seramai 31 pelajar Pra Diploma Sains UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah menerima sumbangan bantuan pek makanan dan wang tunai melalui program Food Bank Siswa 2.0 yang dianjurkan oleh Jabatan Fizik dan Sains Bahan dengan kerjasama Unit Pra Pendidikan Tinggi UiTM Kampus Kuala Pilah.

Bantuan ini merupakan siri kedua selepas siri pertama berjaya dilaksanakan pada 9 Februari 2021 yang hanya melibatkan staf di Jabatan Fizik dan Sains Bahan. Sumbangan kali ini melibatkan seluruh warga kampus UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan hasil sumbangan adalah sebanyak RM1000. Hasil daripada sumbangan kali ini membolehkan pelajar mendapat pek makanan sebanyak 3 kali iaitu 1 untuk makan tengahari dan 2 kali untuk makan malam serta mendapat wang tunai. Sebahagian kecil hasil daripada sumbangan warga kampus telah digunakan untuk membeli makanan ringan dan telah diletakkan di Pusat Islam sebagai wakaf bagi keperluan pelajar lain yang masih berada di kolej kediaman.

Majlis penyerahan pek makanan ini telah diadakan di ruang kafeteria Anjung Seri Perpatih, Kampus Kuala Pilah yang melibatkan dua orang wakil Jabatan Fizik iaitu Puan Allina Nadzri (Koordinator Jabatan Fizik dan Sains Bahan) dan Cik Nor Fadhlin Jaafar. Majlis dianjurkan dengan pematuhan kepada norma baharu dengan mengambil kira penjarakan fizikal dan pemakaian topeng muka.

Sumbangan pek makanan ini amat bermakna kepada para pelajar yang menetap di kolej pada musim PKP ini. UiTM sebagai salah satu entiti pendidikan menitik beratkan kebajikan dan kesejahteraan pelajar secara tidak langsung UiTM Kampus Kuala Pilah juga amat mengutamakan perkara ini. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua penyumbang atas kesudian membantu pelajar-pelajar ini.