Program AT112 – Diploma Pengeluaran Herba lulus akreditasi penuh (MQA-02)

MUKAH: Program Diploma Pengeluaran Herba di bawah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sarawak kampus Mukah selaku Pengurus Utama telah lulus audit Akreditasi Penuh (MQA-02) dengan markah cemerlang iaitu 90.26%.

Program audit yang diadakan secara maya pada baru – baru ini telah melibatkan sesi temuduga bersama pengurusan fakulti, para pensyarah dan pelajar-pelajar program Diploma Pengeluaran Herba. Dapatan daripada dokumen akreditasi yang disediakan oleh pihak fakulti dan sesi temuduga, panel audit telah merumuskan bahawa Program Diploma Pengeluaran Herba mempunyai banyak kekuatan (Strength) dan bebas daripada bidang yang memerlukan perhatian (Area of Concern-AOC) serta melibatkan enam perkara yang perlu dilaksanakan penambahbaikan (Opportunity for Improvement-OFI).

Audit Akreditasi ini telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rezianna Muhammed Kassim bersama bersama dua orang ahli panel penilai iaitu Ts. Dr. Mohd Rozaiman Aziz dan panel penilai luar iaitu Encik Fiza Hanif Zainon serta Dr Zalilah bt Abd Aziz, Ketua Akreditasi Program (Sains & Teknologi) daripada pihak Institut Kualiti & Pengembangan Ilmu (InQKA) UiTM Shah Alam turut hadir dalam audit lokasi secara maya dijalankan.

Program dimulakan dengan mesyuarat pembukaan oleh YBhg Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor (Akademik & Antarabangsa) yang mewakili YBhg. Rektor UiTM Cawangan Sarawak. Turut hadir pada sesi mesyuarat pembukaan adalah YBhg. Prof Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini, Dekan Fakulti Perladangan & Agroteknologi, Prof. Madya Dr. Mohamad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor (HEP), Prof. Madya Dr. Abang Zainoren Abang Abdurahman, Timbalan Rektor (PJI), Dr. Hjh. Khadijah Khalid, Penolong Rektor, UiTM Kampus Mukah, En. Yussri Sawani, Ketua Unit Kualiti dan Dr. Siti Nur Ain bt. Seri Masran, Penyelaras Jawatankuasa Hal Ehwal Kurikulum & Jaminan Kualiti Akademik UiTM Cawangan Sarawak.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Fakulti Perladangan & Agroteknologi, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah di atas nilai skor yang cemerlang bagi akreditasi penuh program Diploma Pengeluaran Herba tersebut. Semoga dengan skor audit yang cemerlang tersebut, melonjakkan lagi program Diploma Pengeluaran Herba dalam penawaran bidang berkaitan pengeluaran herba di Malaysia.