Warga UiTM Cawangan Sarawak beri sokongan penuh Amanat Rektor 2021

KOTA SAMARAHAN : Lembaran sambutan tahun baharu 2021 telah diserikan dengan Amanat Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak yang diadakan secara atas talian pada 19 Februari 2021 (Jumaat). Amanat ini disiarkan secara langsung pada jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi melalui Facebook Rasmi UiTM Cawangan Sarawak dan disampaikan sendiri oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, YBhg. Prof. Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali. Turut hadir dalam program ini Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohammad Isa Mohamadin dan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Madya Dr. Abang Zainoren Abang Abdurahman.

Program ini bertujuan untuk mewujudkan satu platform rasmi bagi Rektor UiTM Cawangan Sarawak untuk menyampaikan amanat, hasrat pengurusan dan berkongsi pencapaian kampus kepada semua warga UiTM Cawangan Sarawak. Di samping itu, perkara utama yang juga dibincangkan dalam amanat ini merangkumi hala tuju Pelan Strategik UiTM 2025.

Uniknya program amanat ini, ia buat julung kalinya dilakukan di peringkat UiTM Cawangan Sarawak. Majlis ini telah disertai lebih daripada 700 orang di atas talian.