Festival Altruisme 3.0 2023: Menghidupkan Semangat Altruisme dan Tanggungjawab Sosial

SHAH ALAM, 7 OKTOBER 2023 – Dalam kolaborasi unik, Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Shah Alam bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM, dan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti, dan Alumni (ICAN) UiTM telah menganjurkan “Festival Altruisme 3.0 2023”. Dalam usaha untuk menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Festival ini turut melibatkan agensi dalaman dan luaran UiTM seperti Kolej Kediaman Mawar, Kolej Kediaman Teratai, Hospital Al-Sultan Abdullah, Pusat Kesihatan UiTM, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sekolah-sekolah PPKI, dan persatuan serta kelab dalaman APB.

Festival Altruisme 3.0 2023 ini telah berlangsung pada 7 Oktober 2023, di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 Shah Alam. Majlis perasmian Festival ini telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Lim Bee Eng, Naib Yang Di-Pertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS). Turut hadir, YBrs. Encik Mohd Firdaus Mokhtar, Ahli Majlis (MBSA); YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Roslinda Alias (CDMP), Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UiTM; YBhg. Profesor Ts. Dr. Janudin Sardi, Dekan Akademi Pengajian Bahasa; YBrs. Puan Hajah Asmah Mohd Zin, Timbalan Setiausaha Pengurusan (MBSA); dan YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Fazlin Mohd Ramli, Penasihat Festival Altruisme 3.0.

Antara NGO OKU yang terlibat ialah MyCP, Orkids, dan Pan-Disability Football Club. Selain itu, sekolah PPKI di sekitar Lembah Klang seperti Sekolah Kebangsaan Klang Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Seksyen 18, Shah Alam dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) adalah antara sekolah-sekolah yang turut menjadi sebahagian dalam festival ini.

Festival ini diadakan bertujuan untuk memupuk semangat altruisme dalam kalangan staf dan pelajar UiTM serta masyarakat setempat dalam menyumbang khidmat dan bakti kepada golongan OKU dan pada masa yang sama menyediakan platform kepada organisasi dan komuniti luar mempromosikan produk, perkhidmatan dan peluang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial organisasi yang terlibat.

Festival Altruisme 3.0 2023 dengan tema “Altruisme Menyemai Kesedaran Komuniti Inklusif Kewujudan Golongan OKU” menyusun pelbagai aktiviti sejajar dengan objektif yang telah ditetapkan. Salah satunya ialah Stesen Karnival OKU yang menyediakan aktiviti seperti catur Braille, dam ular Braille, domino Braille, boling, ping pong tic-tac-toe, carian perkataan, mewarna dan melukis, seni tanah liat, lukisan inai dan lukisan muka. Selain itu, turut diadakan forum Bual Bicara: Cakna OKU dengan kupasan tajuk “Isu Ketidaksetaraan dan Kebolehcapaian dalam Kalangan OKU di Malaysia, Sembang Santai bersama Jurulatih Sunny Shalesh, Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Buta Malaysia dan Pengasas Kelab Bola Sepak Pan-Disability dan demonstrasi inklusif satu lawan satu. Aktiviti lain ialah bengkel asas Braille, bengkel asas bahasa isyarat, urutan kepala dan bahu, perkhidmatan gunting rambut, saringan kesihatan dan cabutan bertuah. Menariknya, selain gerai pameran dan jualan amal, festival ini juga turut menampilkan penyanyi istimewa, Dinie dan Khai yang membuat persembahan nyanyian.

Festival ini bertepatan dengan matlamat SDG UNESCO 1 yang memfokuskan kepada menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua pelajar, serta memupuk semangat perikemanusiaan dalam diri masing-masing. Festival ini juga bertujuan untuk membawa masyarakat khususnya agensi-agensi atau pihak berwajib untuk turut sama menggembleng idea dan tenaga dalam merangka kesejahteraan dan keharmonian komuniti inklusif ini.