Alumni Meriahkan J.O. ITM / UiTM Heritage Walk 2023

PETALING JAYA, 8 OKTOBER 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengukir sejarah dengan menganjurkan J.O. ITM/UiTM Heritage Walk 2023 sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Alumni UiTM yang bakal disambut pada 19 Disember ini. Acara berjalan kaki ini, yang melibatkan alumni, bekas pensyarah, dan staf dari kampus UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya, bertujuan mengenang kenangan dan mengimbau nostalgia bersama.

JO ITM/UiTM Heritage Walk ini melibatkan aktiviti berjalan kaki sambil meluangkan masa bersama keluarga dan rakan taulan ini adalah antara program sambutan Hari Alumni UiTM dan terbuka kepada semua alumni dan bekas pensyarah serta staf dari kampus yang terletak di Jalan Othman, Petaling Jaya. Program ini bertujuan memberi peluang kepada bekas warga kampus tersebut menyelusuri kawasan sekitar yang terdiri daripada bangunan-bangunan serta mercu tanda ikonik yang masih kekal strukturnya dan mempunyai nilai sejarah yang menarik.

Pada awal penubuhannya, kampus ITM/ UiTM di Jalan Othman ini merupakan hab pendidikan tersohor sekitar tahun 1960-an dan 70-an. Seramai 70 alumni, termasuk bekas pelajar, pensyarah dan staf ITM/ UiTM Jalan Othman berjalan kaki sejauh kira-kira 2 kilometer, termasuk laluan ke arah Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz berdekatan di Petaling Jaya dan Taman Selera Jalan Othman.

Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor. Turut menyertai program tersebut adalah mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti, Alumni dan Rangkaian Keusahawanan (ICAEN) dan Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Seni Kreatif – Prof. Dr. Zaini Abdullah dan En. Kasmuri Sukardi, seorang alumni UiTM yang merupakan Pengarah di KaZ Corporation Sdn Bhd serta Dr Junid Abu Saham,salah seorang bekas pensyarah yang paling lama berkhidmat di kampus Jalan Othman. Keterlibatan alumni UiTM di dalam program ini juga telah dimeriahkan oleh enam alumni UiTM yang telah bergraduasi pada Konvokesyen Pertama Dewan Latehan RIDA pada 19 Disember 1964, yang mana tarikh keramat 19 Disember ini telah diisytiharkan sebagai Hari Alumni UiTM. Enam alumni UiTM pioneer ini diketuai oleh, YBhg. Dato’ Sri Mohamed Abid yang sekarang berumur 81 tahun.

Selain daripada Heritage Walk, sambutan Hari Alumni UiTM yang bakal diadakan pada 19 Disember 2023 nanti turut menganjurkan acara UiTM Alumni Fun Run yang akan diadakan serentak di UiTM Shah Alam dan 12 kampus di seluruh negera pada 28 Oktober. Selain itu, acara Alumni Homecoming 2023 yang akan diadakan pada 16 Disember akan juga meraikan para alumni yang telah banyak menyumbang kepada universiti, komuniti dan negara. Para alumni ITM/ UiTM digalakkan mendaftar di platform digital MyAlumni UiTM virtual card, bagi memastikan hubungan keluarga besar UiTM kekal akrab dan berterusan antara alumni dan universiti ini.

Galeri Gambar: