Fakulti Pendidikan jalin usahasama dengan industri pendidikan awal kanak-kanak

 

Pada 11 Januari 2021, satu mesyuarat secara atas talian telah diadakan di antara Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, dengan pemain Industri Pendidikan Awal Kanak-kanak. Perjumpaan ini antara lain membincangkan usahasama yang boleh dilakukan di antara Fakulti Pendidikan dengan taska dan tadika milik mereka. Pemain industri yang terdiri daripada Puan Hajjah Mahanom Hj. Basri, Pengerusi Taska Selangor dan CEO Kids Academy; Puan Norhayati Karno, CEO Sri Urkeed Holdings; Puan Badariah Ismail, Peneraju Tadika dan Sekolah Rendah Dzul Iman; dan Puan Nadiyah Abidin, CEO Cleverland Playschool; juga bertindak sebagai kumpulan fokus untuk Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak yang bakal ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan kelak.

Wakil daripada Fakulti Pendidikan yang hadir pada mesyuarat tersebut terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan; Dr. Hamimah Hashim, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik; Dr. Fatin Aliana Mohd Radzi, Penyelaras Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr. Khadijah Said Hashim dan Dr. Farhana Wan Yunus,  kedua-duanya pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pendidikan Fakulti Pendidikan.

Lanjutan daripada perbincangan ini, kesemua syarikat ini bersetuju untuk menjalankan usahasama dengan Fakulti Pendidikan dalam memantapkan program Pendidikan Awal Kanak-kanak, menyediakan latihan kepada bakal-bakal guru pendidikan awal  kelak dan juga membantu dalam menubuhkan taska di tempat kerja bersama-sama dengan Fakulti Pendidikan. Perjanjian berbentuk memorandum persefahaman (MOU) juga akan menyusul dalam masa terdekat.