Rektor UiTM Cawangan Sarawak terima kunjungan hormat dari PEKEPIS

KOTA SAMARAHAN: Pertubuhan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PEKEPIS) baru-baru ini telah membuat kunjungan hormat kepada Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Prof. Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali. Majlis kunjungan hormat berkenaan berlangsung pada 27 Januari 2021 di Bilik Mesyuarat Utama Kampus Samarahan dan diketuai sendiri oleh En. Mohd Zharif bin Azhari selaku Yang Dipertua PEKEPIS dan diiringi oleh enam orang lagi exco PEKEPIS antaranya En. Mohd Zul Haziq (Setiausaha Agung) dan Fakhri Syakirin (Pengarah Program).

Turut hadir dalam majlis berkenaan Prof. Madya Dr. Mohammad Isa bin Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak. Tujuan kunjungan hormat ini diadakan adalah untuk membincangkan pelaksanaan kolaborasi bagi penganjuran Perkampungan Menara Gading (PMG) Peringkat Negeri Sarawak yang bakal diadakan di UiTM Cawangan Sarawak. Diharapkan kolaborasi ini dapat memantapkan hubungan antara dua pihak tersebut.