Aktiviti gotong-royong serentak dengan pendekatan norma baru

Lebih 200 peserta terdiri daripada pelajar dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan penduduk taman perumahan Maple Hillpark, Puncak Alam mengambil bahagian dalam Program Gotong-royong Maple-HEALSS Serentak. Program ini dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Kesihatan (Kepujian) – HEALSS, FBM, UiTM dan Persatuan Penduduk Maple Hillpark (MPHRA) secara norma baharu.

Selari dengan garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semua peserta program perlu memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal, memakai sarung tangan serta mencuci tangan dengan langkah yang betul sepanjang melakukan aktiviti ini. Penganjur program juga melantik syarikat yang mempunyai lesen pemakai racun makhluk perosak untuk melaksanakan perkhidmatan sanitasi dan disinfeksi untuk pembasmian dan kawalan virus di kawasan awam sekitar Maple Hillpark. Program gotong-royong yang diadakan serentak di kediaman masing-masing ini bertujuan untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran serta merapatkan hubungan antara keluarga, jiran dan rakan serumah.

Pengarah program, Encik Mohamad Naqiuddin Md Mansor yang juga merupakan pensyarah FBM bersama Presiden HEALSS, saudari Aina Insyirah Norazizi serta ahli jawatankuasa program yang lain turut menganjurkan aktiviti sampingan mengunakan platform teknologi dan media sosial bagi memeriahkan lagi program gotong-royong ini. Antaranya adalah majlis bacaan Yassin, doa selamat serta tazkirah ringkas bertajuk “Jaga Kebersihan Sebahagian Dari Iman” yang dijalankan secara atas talian. Disamping itu juga turut diadakan aktiviti Zumba Online dan pertandingan gambar/video menarik yang menawarkan  hadiah berupa wang tunai kepada pemenang.

Acara kemuncak program ialah webinar kesihatan bertajuk “Perangi COVID-19, Basmi Denggi!” yang disampaikan oleh  Dr. Mohamad Mu’izuddin Bin Senin dari Klinik Dr. Muiz, Sri Pristana. Dalam ceramahnya beliau mengingatkan semua peserta supaya menjaga kebersihan dan kesihatan masing-masing kerana penyakit denggi dan COVID-19 boleh membawa maut. Beliau memuji inisiatif yang dianjurkan oleh penganjur dalam membantu usaha membasmi denggi di dalam musim pandemik COVID-19.

Majlis Penutup Gotong-Royong Maple-HEALSS ini telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Perniagaan Antarabangsa dan Pengajian Pengurusan (DIBMS),  Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM, Dr. Noor’ain Mohamad Yunus dan Encik Mohd Fuad Awang Kechik, Bendahari (Memangku tugas Pengerusi) Persatuan Penduduk Maple Hillpark. Mereka berdua berharap agar kerjasama di antara pihak komuniti dan institusi pendidikan tinggi dapat dijalankan lagi di masa hadapan. Kepada rakyat Malaysia teruskan mengamal norma baharu dan patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya kita dapat mematahkan rantaian jangkitan COVID-19 serta tidak lupa akan bahaya penyakit denggi. Tidak kira siapa kita, pastikan kita jaga kita, jaga keluarga, jaga masyarakat dan jaga negara kita.