Fakulti Pendidikan anjurkan Mesyuarat Brainstorming Konvensyen Nasional Pendidikan Bumiputera 2020

Fakulti Pendidikan anjurkan Mesyuarat Brainstorming Konvensyen Nasional Pendidikan Bumiputera 2020

Pada 11 Februari 2020 yang lalu, Fakulti Pendidikan Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu mesyuarat sumbangsaran atau brainstorming dengan wakil pelbagai sektor pendidikan. Mesyuarat ini merupakan fasa pertama di dalam penganjuran Konvensyen Nasional Pendidikan Bumiputera 2020 dan Fakulti Pendidikan berperanan sebagai penganjur untuk Kluster Sekolah Rendah dan Menengah yang bertemakan ‘Memupuk Potensi Individu Mendepani Abad 21: Cabaran dan Harapan’.

Objektif utama mesyuarat ialah penentuan sub-tema yang bakal menjadi tumpuan utama perbincangan di dalam sesi pra-bengkel dan bengkel dalam menghasilkan resolusi. Wakil dari pelbagai sektor pendidikan telah menghadiri mesyuarat tersebut.

Antaranya wakil sekolah rendah, sekolah menengah, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Gabungan Intelektual Pendidikan Guru SeMalaysia (GENIUS) dan tentunya bahagian dan unit di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain daripada wakil daripada beberapa fakulti UiTM.

Institut Kepimpinan dan Pemikiran Melayu (IMPAK) UiTM telah dipertanggungjawabkan sebagai penganjur utama untuk Konvensyen Nasional Pendidikan Bumiputera bagi tahun ini. Konvensyen kali ini dipandu oleh lima kluster utama dan Fakulti Pendidikan merupakan rakan penganjur untuk kluster Sekolah Rendah dan Menengah. Resolusi yang dihasilkan semasa sesi pra-bengkel akan diperinci serta dimurnikan lagi di peringkat bengkel dan akan dibentangkan kepada Yang Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad semasa konvensyen.