‘Encouragement and Engagement Talk’ – Gabungan Empat Ceramah Jemputan Untuk Manfaat Pelajar

KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran program ‘Encouragement and Engagement Talk’ pada 4 November 2023 yang lalu adalah bertepatan sekali dengan objektifnya iaitu untuk memberikan motivasi di kalangan pelajar bagi mendapatkan maklumat dan meningkatkan prestasi diri dalam
bidang akademik dan kerjaya di peringkat profesional, khususnya dalam bidang perakaunan. Para pelajar berpeluang mendengar kisah perjalanan Saudari Adlin Lokman yang berjaya mendapat ACCA Afiliate dengan melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan sebaik menamatkan Diploma Perakaunan beliau di UiTM Cawangan Sabah. Adlin juga menasihatkan pelajar untuk tidak cepat putus asa dalam mengejar cita-cita dan kehendak masing-masing.

Encik Peter Gabriel daripada ACCA semestinya menjadikan UiTM Cawangan Sabah sebagai salah satu daripada lokasi beliau untuk memberikan maklumat tentang ‘ACCA Accelerate Program’ kepada para pelajar khususnya pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) yang bakal menamatkan pengajian. Penceramah ketiga pula adalah Cik Susan Maiks daripada MIA Sabah yang memberikan penerangan tentang perjalanan kerjaya sebagai seorang akauntan. Seramai sepuluh (10) pelajar telah berpeluang mendapat cabutan bertuah berupa ‘Touch n Go e-Wallet Reload Pin’ bernilai RM25 daripada pihak MIA.

Penceramah terakhir adalah Encik Firdani Adam daripada TYMBA Education yang merupakan kali pertama berkunjung ke UiTM Cawangan Sabah. Beliau memberikan ceramah berkaitan dengan peluang-peluang biasiswa dan tajaan bagi pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat profesional.

Penyampaian momento penghargaan telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed, Rektor UiTM Cawangan Sabah. Di dalam ucapan aluan beliau, Yang Berusaha Rektor turut merakamkan penghargaan kepada kesemua penceramah yang telah mengorbankan hujung minggu mereka bagi menyampaikan dan berkongsi maklumat yang amat penting ini. Turut hadir ialah Profesor Ts. Dr. Imbarine Bin Hj. Bujang, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat khususnya ketua program, Saudari Ku Adriana Syaza Binti Ku Hairil dan ahli jawatankuasa pelaksana program. Semoga kerjasama dan sinergi ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.