Delegasi UiTM Cawangan Perak ke China Jalin Kolaborasi Strategik bersama Industri Antarabangsa

29 Februari 2024 – Shijiazhuang, Hebei, China. Satu sesi lawatan dan perbincangan kolaborasi bersama industri antarabangsa, Shijiazhuang Yanjun Design Co., Ltd telah diadakan dengan jayanya. Sesi berkenaan diketuai oleh Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Prof. Madya Dr Muhamad Abdul Aziz dan delegasi UiTM Cawangan Perak. Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian lawatan rasmi delegasi UiTM Cawangan Perak ke Hebei Academy of Fine Arts, China.

Shijiazhuang Yanjun Design Co., Ltd, mempunyai pengalaman dan kepakaran selama 30 tahun dalam reka bentuk strategi jenama. Selama bertahun-tahun, mereka telah berkembang menjadi entiti yang ternama dalam bidang mereka dan telah mendapat pengiktirafan melebihi 400 anugerah reka bentuk domestik dan antarabangsa.

Dengan pelanggan yang melebihi 1,000 jenama dan institusi, kolaborasi bersama Yanjun Design akan membuka lebih banyak jaringan industri di peringkat antarabangsa. Pada dasarnya, Shijiazhuang Yanjun Design Co., Ltd berdiri sebagai mercu tanda kreativiti dan profesionalisme dalam bidang strategi dan reka bentuk jenama, memanfaatkan hampir tiga dekad pengalaman untuk mencipta pengalaman jenama yang berkesan dan berkekalan.

Usaha UiTM Cawangan untuk berkolaborasi dengan Shijiazhuang Yanjun Design Co., Ltd ini merupakan strategi berterusan bagi merealisasikan hasrat UiTM menjadi Globally Renowned University menjelang 2025. Dengan sasaran tahun ini sebagai Globally Respected, program ini dirancang akan membuahkan beberapa memorandum persefahaman (MOU) bersama beberapa rakan industri dalam rangkaian Shijiazhuang Yanjun Design Co., Ltd, China.

Jelas, staf dan mahasiswa UiTM secara umumnya akan mendapat manfaat yang sangat besar hasil daripada kolaborasi strategik ini. Jangkaan tarikh menandatangani MOU berkenaan adalah pada bulan September akan datang. Insya-Allah, UiTM Cawangan Perak Globally Respected, Locally Rooted!

Disediakan oleh:
Sr Dr. Irwan Mohammad Ali, Ts. Dr. Nur Faizah Mohd Pahme, Ts. Ahmad Sofiyuddin Mohd Shuib, Prof. Madya Sr Dr. Thuraiya Mohd, Sr Dr. Wan Samsul Zamani Wan Hamdan