Bengkel Seni Cetakan Mini Bersama Sekolah Dasar Darul Hikam, Bandung, Indonesia

MACHANG, 03 Mac – Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Sekolah Dasar Darul Hikam serta Yayasan Darul Hikam dengan jayanya telah mengadakan Bengkel Seni Cetakan Mini untuk pelajar-pelajar sekolah yang bertempat di Balai Hendap Selasar Sunaryo Art Space, Bandung, Indonesia pada 26 Februari 2024. Program ini melibatkan 4 orang pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), 5 orang pelajar daripada Jabatan Seni Halus UiTMCK, 20 orang pelajar Sekolah Dasar Darul Hikam serta para guru Sekolah Dasar Darul Hikam.

Program ini telah dihadiri bersama Kurator in House Selasar Sunryo Art Space, Encik Heru Hikayat dan Ibu Ruri Sundari selaku Guru Besar. Bengkel ini telah diketuai oleh Puan Siti Safura Zahari dan telah dibantu oleh Puan Nur Fatiyah Roslan, Encik Shahrul Hisham Ahmad Tarmizi dan Encik Azharudin Mappon yang kesemuanya adalah pensyarah daripada Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTMCK.

  

  

Buat julung kalinya, penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan ilmu dan berkongsi ilmu kepakaran pensyarah KPSK khususnya dalam teknik seni cetak kepada murid-murid di peringkat sekolah rendah. Bertemakan “Pengalaman dan Alam Semulajadi”, program ini telah memberi satu pengalaman serta keseronokan dalam mendalami teknik penghasilan karya melalui seni cetakan grafik yang merupakan salah satu cabang seni halus.

Relief print yang diterjemahkan dalam tema ruang lingkup pengalaman dan alam semulajadi telah memberi satu kesan ekspresif dan keterujaan kepada pelajar-pelajar Sekolah Dasar Darul Hikam bersama para guru mereka dalam menerokai penggunaan bahan, media dan teknik dalam berkarya. Sasaran pelajar tahap 2 iatu pelajar darjah 4, 5 dan 6 ini bertujuan untuk mencungkil bakat di samping melahirkan potensi diri dan keyakinan murid agar lebih kreatif dalam pelbagai cara dan keupayaan.

Peserta program Bengkel Seni Cetakan Mini ini telah memberikan kerjasama dan perhatian sepenuhnya sepanjang program berlangsung dan telah mendapat liputan media di Kota Bandung berkenaan aktiviti tersebut. Direktor Yayasan Darul Hikam Dra. Hj. Ruri B. Ramadhanti, MT, Ketua Biro 1 Yayasan Darul Hikam H. Luqman Amin, M.Pd serta guru besar sekolah Ruri Sundari, M.Pd serta guru-guru yang lain telah memberikan kerjasama dengan baik sepanjang bengkel berlangsung.

Kolaborasi mantap ini dapat membina sahsiah serta melahirkan kerativiti untuk manfaat bersama di samping kerjasama erat antara kedua buah institusi, UiTMCK dan Sekolah Dasar Darul Hikam, Bandung, Indonesia.