Lawatan Kumpulan SIG (Disaster Prediction Research Group) Ke Jabatan Pengairan dan Saliran, Negeri Pahang

KUANTAN, 21 Februari 2024 – Kumpulan SIG (Special Interest Group – Disaster Prediction Research Group) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah mengadakan lawatan ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang bertempat di Tingkat 8, Kompleks Tun Razak (KOMTUR) Bandar Indera Mahkota, Kuantan Pahang.

Lawatan yang diketuai oleh Ts Zulhafizal bin Othman ini turut disertai oleh Profesor Adjung Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTM Cawangan Pahang, Profesor Dr Roslan bin Zainal Abidin serta beberapa ahli kumpulan. Lawatan yang tiba tepat jam 9.30 pagi disambut oleh Ir. Norsyamzarina binti Samsuden, Timbalan Pengarah JPS Negeri Pahang serta beberapa pegawai berkaitan antaranya Pn Sumiliana binti Sulong, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Banjir dan Saliran Mesra Alam serta Pn Noraini Binti Yussof selaku Pegawai Hidrologi Negeri Pahang.

Tujuan lawatan ini adalah untuk membincangkan beberapa cadangan kerjasama yang boleh dijalinkan di antara pihak PKA UiTM Cawangan Pahang bersama pihak JPS Negeri Pahang. Lawatan ini juga adalah sebagai lanjutan dari pemeteraian momendum persefahaman di antara pihak UiTM dan JPS Malaysia yang telah ditandatangani pada 8 Julai 2022 oleh Naib Canselor UiTM ketika itu, Profesor Datuk Ts Dr Hjh Roziah Binti Mohd Janor dan Ketua Pengarah JPS Malaysia, Dato’ Ir Dr Hj Md. Nasir Bin Md. Noh.

Hasil dapatan perbincangan ini bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan di antara pihak PKA UiTM Cawangan Pahang dan JPS Negeri Pahang. Antaranya peluang perkongsian ilmu dan syarahan teknikal di antara kedua-dua pihak, peluang lantikan pegawai JPS sebagai panel penasihat industri di UiTM, penempatan pelajar untuk latihan industri dan staf untuk sangkutan industri di JPS serta kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan penulisan. Pihak UiTM juga mengutarakan cadangan untuk pihak JPS memasang seunit stesen telemetri yang bersesuaian antaranya alat cerapan hujan dan alat mengukur kadar sejatan di UiTM Cawangan Pahang bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan. Keberadaan stesen telemetri sebenar di dalam UiTM dapat membantu para pelajar untuk lebih memahami proses yang dijalankan oleh pihak JPS dalam mendapatkan data sebelum dikemaskini ke Laman Web Rasmi Public Infobanjir yang boleh diakses oleh orang awam bagi mengetahui status semasa paras air sungai dan kadar hujan di seluruh negara.

Setelah selesai sesi perbincangan di bilik mesyuarat JPS Negeri Pahang, para pelawat dibawa ke stesen hidrologi telemetri berdekatan untuk melihat demonstrasi sistem terkini yang digunapakai menggantikan sistem hidrologi manual. Demonstrasi telah dijalankan oleh pihak vendor yang dilantik oleh JPS untuk memasang dan menyelenggara stesen-stesen bertempat di Pantai Timur Semenanjung. Stesen telemetri membolehkan data masa sebenar (real time) dapat diakses oleh pihak berkuasa berkaitan dan orang awam dalam mengurangkan risiko akibat banjir.  Sebagai langkah penggunaan tenaga secara mampan, lebih 90% stesen hidrologi telemetri di seluruh negara menggunakan tenaga solar sepenuhnya sebagai sumber tenaga untuk beroperasi.

Kerjasama UiTM bersama pihak industri dan agensi kerajaan seperti JPS ini adalah salah satu inisiatif dalam menjayakan hasrat UiTM ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025 di samping menjayakan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan / Sustainable Development Goals (SDG) antaranya:

  1. Matlamat 4: Pendidikan berkualiti / Quality education
  2. Matlamat 6: Air bersih dan sanitasi / Clean water and sanitation
  3. Matlamat 9: Industri, inovasi dan infrastruktur/ Industry, innovation and infrastructure
  4. Matlamat 13: Tindakan iklim / Climate action
  5. Matlamat 17: Kerjasama demi matlamat / Partnership for the goals

Semoga kerjasama yang dirancang di antara PKA UiTM Cawangan Pahang dan JPS Negeri Pahang ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat atas dasar impak dan faedah bersama. Hal ini juga selaras dengan Teras 5 Pelan Strategik JPS 2021-2025 iaitu meningkatkan keterangkuman sosial melalui kolaborasi strategik dengan pihak dalam dan luar negara.

Penulis : Noor Safwan Bin Muhamad, Ahmad Amzari Bin Yaacob, Zulhafizal Bin Othman, Hamizah Binti Mokhtar, Farah Wahida Binti Mohd Latib, Asmidar Binti Alias, Rohaya Binti Alias