Community Speaks: Projek Impak Tinggi

Shah Alam, Mac 2024: Program Community Speaks yang berbentuk forum telah dianjurkan oleh Pusat Jaringan Komuniti (CNC), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) pada 8 Mac yang lalu. Ia disiarkan secara langsung menerusi YouTube rasmi Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran peserta lebih 500 orang warga UiTM.

Community Speaks bertujuan untuk mengetengahkan serta meningkatkan ketampakan projek-projek komuniti berimpak yang dijalankan oleh pusat tanggungjawab (PTJ) di seluruh sistem UiTM. Program ini merupakan platform bagi perkongsian pengalaman, panduan dan kepakaran ketua projek dalam merancang serta melaksanakan projek. Tiga panel yang menjalankan projek komuniti berimpak tinggi yang telah terpilih untuk sesi perkongsian kali ini adalah:

  1. Jannah Munirah Md Noor – Projek CosMos 1.0 (UiTM Johor)
  2. Jamil Taja – Projek Laktut (UiTM Perlis)
  3. Puan Zunaidah Ab Hasan – Projek Kelulutpreneur (UiTM Melaka)

Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada ketiga-tiga panel atas kejayaan yang cemerlang melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi di mana projek ini telah berjaya membantu melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menaik taraf tahap sosioekonomi mereka.

Ts. Siti Hajar Aznam selaku moderator telah mengendalikan program yang berlangsung selama dua jam ini. Pelbagai perkongsian yang menarik dan perbincangan yang padat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pengenalan projek, cabaran menjalankan projek juga hala tuju dan masa depan projek.

Antara cabaran yang dikongsikan adalah dalam mendekati komuniti dan memperoleh dana untuk menjalankan projek. Para panel berkongsi kepentingan cara berkomunikasi yang berkesan untuk mendekati komuniti. Selain itu menurut mereka, projek boleh dijalankan secara berperingkat dan kejayaan projek itu sendiri akan menjadi penarik untuk syarikat mahupun organisasi untuk turut terlibat sama dalam projek yang dijalankan. Mereka juga menekankan kepentingan sokongan daripada pihak universiti untuk menyokong usaha yang dilakukan.

Kejayaan projek komuniti yang dikongsikan oleh ketiga-tiga panel dapat dilihat dari pelbagai sudut. “Untuk melihat sama ada berjaya atau tidak projek ini adalah semasa PKP di mana laktut sudah tumbuh elok dan boleh jual. Ini boleh menambah pendapatan mereka dan dari situ dapat dilihat perubahan komuniti serta sudah nampak kejayaan menerusi projek ini,” jelas Dr. Jamil Tajam.

“Kejayaan projek komuniti diukur dari segi peralihan positif keterampilan masyarakat yang semakin berani ke hadapan dan mempunyai semangat untuk berubah, ada yang telah berjaya membuka perniagaan sendiri,” tambah Dr. Jannah Munirah berkongsi kejayaan yang telah dicapai.

Dalam pada itu, untuk melaksanakan dan memastikan kejayaan projek komuniti yang berimpak, Puan Zunaidah Ab Hassan menekankan minat dalam melaksanakan sesuatu projek adalah penting. “Kami bermula dengan zero knowledge tetapi bila kita suka apa yang kita buat, kita akan sentiasa berusaha untuk menambah pengetahuan” ujar beliau lagi.

Berpandukan minat dan usaha yang berterusan, keterlibatan proaktif warga UiTM dalam membantu komuniti telah membuka peluang baharu dalam membantu komuniti mencapai taraf hidup yang lebih baik. Melalui sesi perkongsian ini, diharap ia dapat memberikan inspirasi buat semua warga UiTM dalam meneladani kejayaan projek yang dibawakan menerusi program ini.