Bakti Alumni: PAPU Bantu Perkukuh Hubungan UiTM dan CO-OP BANK PERTAMA MALAYSIA

Jumaat, 8 Mac 2024 – Persatuan Alumni Perladangan UiTM Malaysia (PAPU), bersama wakil dari Pejabat ICAN UiTM Shah Alam dan wakil Fakulti Perladangan dan Agroteknologi telah mengadakan satu sesi kunjung hormat ke CO-OP BANK PERTAMA MALAYSIA, untuk bertemu secara khusus Pengerusi CO-OP BANK PERTAMA, Y.Brs. Dato Baharom Embi. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi CO-OP BANK PERTAMA Haji Syaiful Arief Syah. PAPU telah diwakili oleh Pengerusi PAPU, Tuan Haji Anuar Ahmad, Pengerusi KOPAPU, Encik Mohd Zuhairi Mohammad Sabri, Puan Maznon Yaacob, Cik Norlian Mustaffa dan Encik Md Duad Dahar. Turut serta ialah Pengarah Pusat Jaringan Alumni UiTM, Prof Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti, Pengarah Pusat Jaringan Industri, Prof Dr Muhammad Hussain Ismail, Koordinator ICAN Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Puan Nurul Wahida Ramli dan Penyelaras Alumni, Puan Nur Wajihah Mohd Nawi.

Perbincangan dua hala telah diadakan semasa kunjungan ini berlangsung, dan antara perkara yang dibincangkan adalah untuk menjalinkan hubungan antara para Alumni UiTM bersama pihak industri dan menggalakkan aktiviti kerjasama antara kedua-dua pihak. Presiden PAPU, Tuan Haji Anuar Ahmad merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak CO-OP BANK kerana sudi menerima kunjungan dari PAPU dan UiTM. Selain itu beliau juga turut memperkenalkan secara ringkas tentang PAPU dan wakil-wakil yang hadir dalam sesi perbincangan tersebut.

Selain itu, Datin Sri Dr Nazura juga turut menjemput para alumni untuk menyertai dan mendaftar sebagai Alumni UiTM-My Alumni Virtual Card. Pelbagai faedah dan kemudahan bakal diperolehi oleh ahli yang mendaftar dan mengalu-alukan sebarang tawaran yang ingin diberikan oleh pihak CO-OP BANK kepada para Alumni UiTM. Antara lain, sesi kunjungan itu juga turut membincangkan tentang penempatan latihan industri pelajar terutamanya bagi bidang-bidang yang berkaitan agar dapat membantu dan mempertingkatkan kualiti pelajar seiring dengan kehendak industri masakini.

Hubungan baik antara UiTM dan CO-OP BANK juga dapat dipereratkan lagi melalui pelbagai aktiviti seperti perkongsian kepakaran (CEO TALK ) dan  pihak CO-OP BANK menyambut baik aktiviti seumpama ini kerana menurut Pengerusinya, Dato Baharom Embi pihak mereka dapat berkongsi dan menyebar luas kepakaran mereka dalam bidang perbankan. Selain itu, kedua-dua pihak juga turut membincangkan tentang potensi dalam bidang penyelidikan dan program melibatkan komuniti atau CSR yang berpotensi untuk dijalankan bersama-sama.

Akhir sekali, pihak CO-OP BANK menyatakan akan memberikan keutamaan kepada perkara-perkara yang telah dibincangkan bersama dan  secara khususnya, perbincangan dan kunjungan hormat ke CO-OP BANK ini telah memberi peluang dan ruang kepada kedua-dua pihak untuk menjalinkan hubungan baik dalam pelbagai aspek untuk masa hadapan.